Anda di sini

Rogol gadis bawah umur: Lelaki dipenjara 15 tahun, enam sebat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: "Kesalahan ini serius. Mangsa di bawah umur dan mengandung. Penjara 15 tahun dan enam sebat dikenakan," kata hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus terhadap seorang lelaki warga asing yang didakwa atas tuduhan merogol.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap Akhbar Talib, 33, selepas mengaku salah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara selama 20 tahun dan sebat.

Tertuduh merogol mangsa warga tempatan berusia 15 tahun 11 bulan, pada 28 November 2018 jam 7 malam di sebuah rumah kongsi ladang kelapa sawit, Kampung Tanah Merah, daerah Kota Marudu.

Berdasarkan fakta kes, pada 16 Januari, pengadu (mangsa) membuat laporan polis mengatakan dirogol seorang lelaki yang dikenalinya.

Hasil siasatan, pengadu keluar dari rumah sejak 28 November tahun lalu kerana mengikuti teman lelakinya (tertuduh), mereka tinggal bersama di rumah kongsi ladang kelapa sawit.

Pada hari kejadian teman lelaki pengadu iaitu tertuduh memaksanya melakukan persetubuhan tanpa kerelannya.

Semasa ke pekan Goshen pada 13 Januari, tertuduh ditangkap pihak berkuasa kerana pasportnya tamat tempoh, sementara pengadu diserahkan kepada keluarganya.

Pada 14 Januari ahli keluarga pengadu membuat ujian kehamilan terhadapnya dan didapati positif, setelah itu beliau menceritakan hal yang sebenar.

Pengadu dibawa ke hospital pada 17 Januari untuk pemeriksaan lanjut dan pegawai perubatan yang memeriksa mengesahkan pengadu mengandung tujuh minggu.

Semasa rayuan, Akhbar yang tidak diwakili peguam memohonnya tempoh pemenjarannya dikira dari tarikh tangkap.

"Saya masih mempunyai empat anak yang masih kecil berada di negara Indonesia. Ibu bapa saya juga sudah lanjut usia," katanya.

Walau bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya Mas Izzaty Lokman menegaskan hukuman yang berat harus dijatuhkan dan dikira dari tarikh sabitan.

Tambahnya tertuduh dikenakan penjara empat bulan atas kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, kerana tinggal melebihi tempoh masa di negara ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh tangkap, selepas itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Advertisement