Anda di sini

Tiada jerebu tahun ini

Advertisement
 Abu Bakar (tengah) bersama Lulie (kanan) dan Pengarah Program Gas Rumah Hijau dan Kualiti Udara IIASA Dr Markus Amann pada sidang media di TROPI Sarawak, semalam.
TIADA JEREBU: Abu Bakar (tengah) bersama Lulie (kanan) dan Pengarah Program Gas Rumah Hijau dan Kualiti Udara IIASA Dr Markus Amann pada sidang media di TROPI Sarawak, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Malaysia dijangka tidak akan dilanda jerebu tahun ini berdasarkan maklumat dikumpul daripada mekanisme yang dibangunkan oleh sekumpulan saintis.

Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Abu Bakar Jaafar berkata, mekanisme yang dicipta itu mampu meramal indeks pencemaran udara punca berlakunya jerebu di rantau ini.

Abu Bakar yang juga profesor daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata berdasarkan penemuan itu, saintis serta pakar kajian iklim dapat menentukan ciri-ciri dan tahap impak daripada jerebu.

Beliau berkata menerusi kajian dilakukan kumpulan saintis ini daripada kejadian jerebu di wilayah ini dan Musim Sejuk Asia Timur, mereka telah menghasilkan petunjuk yang turut memberi idea-idea daripada kejadian jerebu sebelum ini.

“Daripada pengetahuan saya, jerebu tidak akan berlaku tahun ini. Hasil kajian saintis yang tidak hanya memfokus jerebu di wilayah ini tetapi Musim Sejuk Asia Timur telah menghasilkan Indeks Musim Sejuk Asia Timur.

“Mereka telah menghasilkan petunjuk, sebagai contoh Indeks Musim Sejuk Asia Timur menurun, kita akan dilanda jerebu seperti pada 1997, 2003, 2004, 2005 dan 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini semalam selepas menghadiri Bengkel Jerebu dan Pembakaran Biomas di Asia.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu bermula semalam, merupakan edisi kedua selepas diadakan di Bandung, Indonesia tahun lalu dan pada penganjuran kali ini, Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI) bertindak selaku tuan rumah.

“Mekanisme ramalan ini boleh digunakan untuk mengenal pasti jerebu dan dengan mengetahui lebih awal bila ia berlaku, membolehkan kita membuat persiapan lebih awal,” katanya.

Mengenai  mekanisme menangani jerebu, Abu Bakar berkata, ASM dengan kerja TROPI, telah menghasilkan strategi untuk membuat ramalan kualiti udara dan iklim, pengurusan kawasan gambut dan cara menukar bahan alur menjadi tenaga.

“Harga dan tarif tenaga yang rendah adalah rendah, tiada nilai ekonomi apabila ditukar menjadi tenaga dan sudah tentu strategi kita ialah menukar bahan alur ini menjadi metanol yang lebih tinggi nilainya,” jelasnya.

Mengenai bengkel itu, Abu Bakar berkata hasil daripada bengkel itu juga akan dikongsi dengan para saintis dari Indonesia, Thailand dan di seluruh dunia.

Selain itu pihaknya bekerjasama rapat dengan badan-badan antarabangsa seperti IIASA (International Institute fo Applied Systems Analysis) yang mempunyai kepakaran dalam pencemaran udara.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran terbesar adalah untuk menguruskan kawasan tanah gambut dengan efisien, seperti di Sarawak apabila tidak ada sebarang titik panas yang dicatatkan semasa jerebu melanda negara dan rantau ini.

“Ini menujukkan TROPI telah melaksanakan tugasnya dengan baik sekali dalam mengurus kawasan tanah gambut dan tiada kebakaran besar melibatkan kawasan tersebut.

“Tahniah kepada TROPI Sarawak. Sebab itulah ketika bengkel pertama di Bandung, kita memilih TROPI Sarawak sebagai hos untuk bengkel kedua ini,” katanya.

Pengarah TROPI Sarawak Dr Lulie Melling katanya, telah meletakkan TROPI di mata dunia dan kini di kedudukan untuk memimpin dunia dalam pengurusan tanah gambut.

“Ini adalah sumbangan besar TROPI dan Kerajaan Sarawak serta Malaysia amnya kepada dunia,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement