Anda di sini

Veteran ATM digesa sertai PVATM

Advertisement
MARSHID menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ahli PVATM.
MARSHID menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ahli PVATM.

TUARAN: Veteran ATM digesa menjadi ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) bagi membolehkan persatuan itu memantau semua ahli dan memberikan bantuan sewajarnya mengikut syarat yang ditetapkan.

Yang Dipertua PVATM Marshid Hj Mohd Salleh berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan mesyuarat agung tahunan PVATM Cawangan Tuaran ke-28 di Dewan Persidangan Majlis Daerah Tuaran.

Beliau mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, yang juga Ahli Parlimen Tuaran dan penaung PVATM Tuaran.

Selain mengadakan mesyuarat agung tahunan, persatuaan itu turut mengadakan sesi dialog bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Negeri Sabah Mejar Mohd Kamarul Helmi Mohd Esa.

Mesyuarat agung itu telah dihadiri seramai 80 ahli termasuk Veteran ATM, Srikandi serta Beliawira PVATM Tuaran.

Mohd Kamarul berkata, semua ahli veteran diwajibkan menjadi ahli persatuan, bekerjasama dan bersatu padu dalam persatuan agar jabatannya mudah memantau dan mengenal pasti ahli veteran serta keluarga yang perlu diberi bantuan sewajarnya.  

"Dengan adanya rekod dalam sistem data persatuan, ia memudahkan lagi bagi JHEV mengenal pasti mereka yang benar-benar perlu diberikan bantuan kebajikan dan tanggungan mereka yang daif, uzur, hilang upaya serta menghidap penyakit kronik berdasarkan kelayakan mengikut kiraan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini JHEV komited di dalam menyalurkan bantuan kebajikan kepada veteran ATM dan tanggungan yang layak terutama skim bantuan iaitu Skim Bantuan Sara Hidup kepada yang layak. Kadar bantuan adalah RM300 sebulan.  

Skim Bantuan Persekolahan dan Kolej Vokasional Kebangsaan berasaskan kelayakan mengikut kiraan PGK ditetapkan. Kadar bantuan adalah RM500 setahun untuk sekolah rendah dan RM700 setahun bagi sekolah menengah serta kolej vokasional kebangsaan. 

Advertisement