Anda di sini

Murid Prasekolah SKLT didedahkan cara menyelamatkan diri

Advertisement
SERAMAI 75 murid Prasekolah SKLT bergambar kenangan di Balai Bomba Layang-Layangan.
SERAMAI 75 murid Prasekolah SKLT bergambar kenangan di Balai Bomba Layang-Layangan.

LABUAN: Seramai 75 murid Prasekolah Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Balai Bomba Kampung Layang-Layangan pada Isnin.

Program itu dianjurkan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama Prasekolah SKLT.

Tiga guru Prasekolah SKLT turut menyertai lawatan itu, Nurmi Anuar, Samih Kukung dan Rosnah Abd Rajak, bersama tiga Pembantu Pengurusan Murid (PPM), Norilah Tahir, Aminah Junir dan Rosneza Osman.

Selain ucapan pegawai bomba, turut diadakan taklimat 3K (Kelab Keselamatan dan Kebakaran), tayangan video pendek mengenai kebakaran dan lawatan ke Galeri Bomba serta sesi bergambar.

Samih berkata tujuan lawatan adalah untuk memberi pendedahan asas mengenai menyelamatkan diri sekiranya kebakaran benar-benar terjadi.

“Kami mahu memberi pengetahuan kepada murid prasekolah mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Semasa lawatan itu, empat pegawai bomba turut hadir iaitu Ketua Balai Bomba Layang-Layangan Huzaiman Malikin dan Pegawai Bomba Kanan 11 Rahim Rahman, Penyelia Pasukan Bertugas serta Pegawai Bomba Mazidi Rosli dan Lotter Hartley selaku penceramah 3K.

Samih berharap program itu dapat diteruskan pada tahun akan datang dan dapat menambah pengetahuan yang baharu serta dapat digunakan dalam kehidupan seharian.

Beliau mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat khususnya Balai Bomba Layang-Layangan yang menerima kunjungan murid dan guru Prasekolah SKLT.

Advertisement