Anda di sini

Artis EDM uji ciri baharu dalam persembahan mereka

Advertisement
DJ MICHAEL BRUN
DJ MICHAEL BRUN

SELEPAS lebih setahun setelah kematian bintang muzik tarian, Avicii, dunia elektronik mengalami perubahan, dan berdepan dengan dominasi hip-hop sebagai ‘du jour’ muzik parti orang muda.

Artis dalam genre yang dahulu bawah tanah dan umumnya dikaitkan dengan kelab malam dan kegilaan itu sedang bercambah, menguji ciri-ciri baharu dalam persembahan mereka seperti instrumental secara langsung dalam usaha untuk kekal segar dan menarik peminat baharu.

Avicii merupakan salah seorang deejay pertama yang membawa muzik elektronik ke aliran utama, dan bermain kepada penonton yang begitu ramai sekali di festival selain berkolaborasi dengan bintang pop termasuk Madonna dan Coldplay.

Kematian awal artis dari Sweden itu pada usia 28 tahun meninggalkan kekosongan, dan ramai menganggap Avicii sebagai versi EDM bagi Kurt Cobain, penyanyi utama kumpulan Nirvana yang meninggal dunia pada usia 27 tahun.

Sebelum dia meninggal dunia, deejay itu memberi amaran bahawa EDM – termasuk stail seperti house, techno, trance dan dubstep – mesti berubah untuk terus hidup.

“Sejak ia menjadi begitu besar di Amerika beberapa tahun lalu, muzik tarian sedang mengambil alih di merata tempat,” katanya kepada akhbar London Evening Standard.

“Ia adalah penting untuk ia terus berubah supaya ia tidak menjadi satu kegemaran seketika.”

Sekarang, dengan mata yang lebih cenderung ke arah muzikaliti dan seni hiburan, kebanyakan artis EDM kontemporari pada hari ini, mengetepikan irama intensiti tinggi dengan degupan parti dan beralih kepada karya yang lebih eksperimental.

Kumpulan duo dari Kanada, Bob Moses, telah mengolah stail rock-electro yang diadun dengan instrumen secara langsung dan vokal lasak, keluar dari dunia gudang di mana mereka membesar untuk membuat persembahan di festival besar seperti Coachella dan New York’s Governors Ball.

“Apabila kami berkumpul dalam masa dan tempat yang kami buat – iaitu Brooklyn pada 2012 – segalanya mengenai kegilaan gudang dan muzik tarian bawah tanah,” kata Tom Howie dari kumpulan duo berkenaan.

“Itu seperti super punk rock – amat baharu dan mengujakan.”

Peralihan EDM ke aliran utama membuka laluan baharu bagi kumpulan duo itu, kata mereka, yang mendorong mereka untuk menguji dengan membawa mikrofon dan gitar ke dalam booth deejay untuk mencipta bunyi fusion.

Jimmy Vallance – seorang lagi anggota kumpulan berkenaan – berkata menekan lirik lagu mereka membolehkan kedua-dua mereka untuk mencapai audiens yang lebih luas.

Dengan cara ini, mereka dapat “benar-benar membiarkan lagu-lagu bercakap, berbanding memimpin dengan penerbitan,” kata Vallance.

- ‘Segar dan baharu’ -

AGORIA
AGORIA

Di festival Coachella yang berpengaruh pada tahun ini, deejay dari Rusia, Nina Kraviz, mengejutkan ramai apabila dia mengubah setnya kepada pertunjukan audiovisual secara langsung – satu cara yang menurut pengkritik budaya deejay dapat mencipta semula diri sendiri.

Seni hiburan serta techno, persembahan yang menarik perhatian namun memecah-belah itu menyaksikan artis itu mengubah pentas menjadi bilik tamu yang dihias, di mana dia berposing dalam cermin, berjalan mundar-mandir dan bernyanyi bersama rentak ala mimpinya.

Deejay dari Perancis, Agoria, sudah terlibat dalam EDM sejak kebangkitan house dan techno pada hujung zaman 1990an yang merangkumi ledakan muzik ‘French Touch’, yang menyaksikan penghibur seperti Daft Punk, AIR dan Cassius menguasai dunia kelab dengan lagu-lagu yang diwarnai disko.

Untuk rekod baharunya yang dikeluarkan pada tahun ini – bertajuk ‘Drift’, yang merujuk kepada “hanyut menerusi genre dan tempo dalam satu set” – dia cuba menggilirkan stail dengan mood untuk menggerakkan bunyinya.

“Sebagai penerbit, saya rasa tidak mahu menghabiskan hari-hari saya di rumah dengan membuat benda yang sama,” katanya kepada AFP.

“Saya mahu membuat sesuatu yang segar dan baharu.”

Artis berusia 43 tahun itu, yang mengasaskan festival elektronik Perancis, Les Nuits Sonores, di Lyon, membawa pencarian bagi kebaharuan itu ke tahap yang begitu tinggi sekali pada tahun lepas, berkolaborasi dengan NASA untuk memancarkan muzik yang dia gubah 12.4 tahun cahaya ke angkasa lepas.

- ‘Pendemokrasian bunyi’ -

Bagi DJ Michael Brun yang berpangkalan di Brooklyn, EDM dan hip-hop sebenarnya menguatkan dan memperbaiki satu sama lain.

“Hip-hop membuat banyak perkara menarik dari segi penerbitan yang saya rasa menggerakkan muzik ke depan,” kata deejay berusia 27 tahun itu, dengan bunyi unik yang mengadunkan elemen genre EDM dengan stail dari negara asalnya Haiti.

Bagi Brun, inovasi dalam muzik tarian kini berpunca daripada dunia bawah tanah di luar ibu kota EDM tradisional seperti Berlin dan Ibiza, khususnya di tempat seperti Afrika Selatan, di mana dunia elektronik telah meletup sejak beberapa tahun lalu.

AVICII
AVICII

Brun berkata, internet telah membawa kepada “pendemokrasian bunyi”.

“Orang meletakkan sedikit ciri budaya mereka di dalam, dan ia membuatnya berubah dan menjadi benda lain,” katanya.

“Sekarang adalah masa yang begitu bagus untuk menjadi seorang artis, kita dapat membuat apa sahaja yang kita inginkan.

“Selagi ia jujur kepada diri anda sendiri, anda akan menemui ramai peminat,” tambah Brun. — AFP

Advertisement