Anda di sini

Maritim Malaysia pandang serius aktiviti bom ikan

Advertisement

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memandang serius insiden maut dipercayai akibat pengeboman ikan di Pulau Kulapuan Semporna pada 5 Julai lepas.

Pengarah Maritim Negeri Sabah Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, walaupun kejadian terbabit masih dalam siasatan, pihaknya amat memandang serius kes berkenaan.

"Sejak penghujung Mei lepas sehingga kini, Maritim Negeri Sabah menjalankan operasi khas untuk membanteras aktiviti bom ikan.

"Ia membabitkan kawasan 'panas' sekitar perairan Kota Belud, Mantanani dan Pulau Gaya.

"Operasi khas ini dijalankan berikutan aduan yang diterima serta maklumat risikan berhubung kegiatan terbabit," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, mesyuarat turut dibuat melibatkan Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Imigresen serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Katanya, salah satu isu yang dipandang serius dalam mesyuarat itu adalah aktiviti bom ikan yang didapati dijalankan oleh pendatang tanpa izin (PTI) dan selain mengenal pasti penempatan pihak terbabit.

"Insiden yang berlaku ini memberi kesan kepada komuniti maritim terutamanya di Zon Maritim Semporna dan ia mencabar kredibiliti pasukan keselamatan.

"Maritim Malaysia akan bekerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi menangani masalah ini dan menggerakkan aset serta tenaga kerja agar operasi keselamatan yang dilaksanakan berjalan lancar," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar syarikat dan pengendali aktiviti menyelam mematuhi prosedur keselamatan semasa menyelam.

  • oleh
  • Advertisement