Anda di sini

Relik Tutankhamun dijual AS$6 juta di London walaupun dibantah Mesir

Advertisement
 Gambar serahan gedung lelongan Christie’s di London pada 26 Jun menunjukkan relik Tutankhamun yang dilelong pada harga AS$6 juta kelmarin. — Gambar AFP
BERNILAI: Gambar serahan gedung lelongan Christie’s di London pada 26 Jun menunjukkan relik Tutankhamun yang dilelong pada harga AS$6 juta kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Kepala kuarzit ‘Boy King’ Tutankhamun dari Mesir yang berusia 3,000 tahun telah dilelong pada harga AS$6 juta (RM24 juta) pada Khamis di London walaupun ia dibantah sekeras-kerasnya oleh Kaherah.

Gedung lelongan Christie’s menjual relik se-tinggi 28.5 sentimeter itu pada harga 4,746,250 pound (AS$5,970,000, 5,290,000 euro) di salah satu lelongannya yang paling kontroversi sejak sekian lama.

Tiada maklumat me-ngenai pembelinya di-dedahkan.

Wajah firaun terkenal itu yang diraut dengan halus – matanya yang tenang dan bibirnya yang tebal mengeluarkan rasa aman yang abadi – datang daripada koleksi seni purba peribadi Resandro yang kali terakhir dijual oleh Christie’s pada harga 3 juta pound pada 2016.

Namun pegawai Mesir yang marah mahu jualan pada Khamis dihentikan dan khazanah itu dikembalikan.

Kira-kira 12 penunjuk perasaan mengibarkan bendera Mesir dan membawa poster yang menyebut “berhenti meniaga barang antik yang diseludup” di luar bilik jualan gedung lelongan di London.

“Ini tidak sepatutnya disimpan di rumah. Ia seharusnya berada dalam muzium,” kata warga Mesir Magda Sakr.

“Ia adalah sejarah. Ia merupakan salah seorang raja kami yang paling terkenal,” kata warga berusia 50 tahun itu.

Kementerian barangan purba Mesir berkata ia akan mengadakan mesyuarat khas pada awal minggu depan untuk membincangkan langkah seterusnya dalam kemelut tersebut.

“Kerajaan Mesir akan mengambil segala langkah perlu untuk mendapatkan semula barang purba Mesir yang meninggalkan Mesir secara haram,” ia menyebut dalam satu kenyataan.

Bekas menteri barang purba Mesir, Zahi Hawass, memberitahu AFP menerusi telefon dari Kaherah bahawa relik berkenaan dipercayai telah “dicuri” pada zaman 1970-an dari kompleks Karnak Temple ke utara Luxor.

“Kami berpendapat ia meninggalkan Mesir selepas 1970 kerana pada waktu itu artifak lain telah dicuri dari Karnak Temple,” kata Hawass.

Kementerian Luar Mesir telah meminta Pejabat Luar UK dan badan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO untuk campur tangan dan menghentikan jualan berkenaan.

Namun campur tangan sedemikian jarang sekali berlaku dan dibuat hanya apabila terdapat bukti jelas bahawa pengambilan sah barang terbabit oleh si penjual boleh dipertikaikan.

Christie’s berkata Mesir sebelum ini tidak pernah menunjukkan tahap kebimbangan yang sama mengenai suatu benda dengan kewujudan yang “diketahui ramai dan dipamerkan secara terbuka” selama bertahun-tahun.  

“Objek itu tidak menjadi, dan tidak pernah menjadi, subjek siasatan,” Christie’s menyebut dalam satu kenyataan kepada AFP.

Christie’s memberitahu AFP, ia tidak akan “menjual sebarang karya yang tidak ada surat hak milik yang jelas”. — AFP

Advertisement