Anda di sini

Pemilikan bakakuk bukan budaya orang Sabah

Advertisement

TAWAU: Pemilikan senjata api haram bakakuk atau ginsok disifatkan bukannya budaya orang Sabah tetapi satu bentuk perlanggaran undang-undang, sekalipun jenis senjata itu hanya terdapat di negeri ini dan Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, senjata terbabit tidak dilesenkan dan menjadi kesalahan jika ada rakyat yang memiliki senjata api tanpa lesen di negara ini.

OMAR merakamkan foto bersama pemohon-pemohon pembaharuan lesen pemilikan api untuk Zon III meliputi Daerah Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau.
OMAR merakamkan foto bersama pemohon-pemohon pembaharuan lesen pemilikan api untuk Zon III meliputi Daerah Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau.

“Semua orang Sabah tahu memiliki senjata api tanpa lesen satu kesalahan tetapi ada yang mengambil mudah dan mungkin beranggapan kesalahan itu susah dikesan,” katanya.

Omar berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui sempena program pembaharuan lesen senjata api (pistol) 2019/2020 Zon III di IPD Tawau pada Jumaat.

Menurutnya, bakakuk atau ginsok yang digunakan di Sabah dan Sarawak menggunakan peluru 12 bore, sama seperti peluru senapang patah dan banyak mengakibatkan kematian.

“Kes kematian yang direkodkan selalunya melibatkan kecelakaan tertembak diri sendiri atau ditembak oleh rakan yang berburu bersama-sama hingga terpaksa buat laporan polis.

“Sebab itu kita mengingatkan pemilik lesen senjata api yang turut memiliki senapang patah supaya tidak menjual peluru kepada pemilik bakakuk,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan rampasan 137 bakakuk yang direkodkan dicapai berdasarkan laporan polis daripada pemilik atau rakan pemilik dan maklumat awam.

Berikutan itu, pihaknya menasihatkan orang awam khususnya pemilik bakakuk atau ginsok supaya memusnahkan senjata terbabit serta-merta sebelum ditangkap polis.

Menyentuh program di IPD Tawau, Omar berkata 21 pemohon daripada 26 nama untuk Zon 3 (Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau) hadir memperbaharui lesen mereka.

“Lima orang tidak hadir kerana berada di luar negara tetapi kita akan hantar surat untuk meminta mereka tampil ke IPK Kepayan untuk memperbaharui lesen masing-masing.

“Pemohon perlu datang dan membawa senjata mereka sendiri untuk membolehkan kita memastikan bahawa jenis senjata yang mereka daftarkan sesuai dengan senjata mereka.

“Kita khuatir jika ada di antara mereka yang datang memperbaharui lesen tetapi ternyata pistol mereka pula hilang dan hanya tampil untuk memperbaharui lesen sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pematuhan peraturan itu perlu untuk membolehkan polis membuat semakan sekiranya senjata yang direkodkan digunakan oleh ‘orang jahat’ untuk jenayah.

  • oleh
  • Advertisement