Anda di sini

Pemergian arwah Zainal dikenang baik sahabat handai

Advertisement
SYAMSUDDIN bersama Zainal suatu masa lalu.
SYAMSUDDIN bersama Zainal suatu masa lalu.

LAHAD DATU: Pemergian jurulatih selaman, Ab Zainal Abdu, 30, yang maut dipercayai akibat aktiviti bom ikan ketika menyelam bersama pelancong China memberi kesan kepada sahabat handainya.

Seorang sahabat arwah yang mahu dikenali sebagai Rey berkata, dia sempat bercakap melalui telefon dengan arwah.

"Kira-kira jam 2.15 petang saya ada menghubunginya bertanyakan khabar dan sedikit urusan.

"Nadanya seperti biasa, merendah diri, ceria namun tidak sangka itulah kali terakhir saya dapat berbicara dengannya," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Rey yang sudah dianggapnya sebagai abang angkat memberitahu beliau turut terkesan apabila mendengar satu rakaman mesej suara arwah di sebuah kumpulan Whatsapp.

Menurutnya, mesej suara dari Zainal itu dirakamnya jam 7.41 pagi dan dikongsinya di kumpulan yang disifatkannya sebagai pesanan dan doanya buat rakan-rakan.

"Ini hari aku pigi laut ada mau dibawa diving menyelam bawa kamera gambar-gambar macam itu.

"Dalam group ini kalau ada kemungkinan orang cari aku kah, tanya pasal aku kah, kamu kasi taulah aku pigi laut ini hari.

"Doakan kita semua segala matlamat urusan agar berjalan lancar dan sukses walafiat, amin," demikianlah mesej suara yang dikongsikan arwah.

Timbalan Presiden Pertubuhan LangMerah Malaysia Syamsuddin Ismail berkata, beliau mengenali mangsa sebagai seorang belia yang dinamik, berwawasan dan bersemangat tinggi serta ahli pertubuhan yang sentiasa memberi bantuan.

"Saya difahamkan juga dia seorang Pala'u yang berjaya keluar dari kepompongnya dan mempelajari dunia selaman secara profesional bermula dari bawah.

"Saya pernah bersama beliau ketika bercuti di Semporna dan sepanjang bersamanya memang benar dia seorang yang ceria, berfikiran jauh dengan perancangan masa depan yang hebat dan berbakat luar biasa," katanya.

JURULATIH selaman Zainal akan terus dikenang sahabat.
JURULATIH selaman Zainal akan terus dikenang sahabat.

Utusan Borneo yang turut meninjau perkembangan laman media sosial milik Zainal mendapati ramai rakan-rakan termasuk pelanggan yang pernah menyelam bersamanya bersedih dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

  • oleh
  • Advertisement