Anda di sini

KKKR sokong Sabah AZ sebarluas kesedaran penjagaan pesakit Alzheimer

Advertisement
KENT (tiga, kiri) menyampaikan cenderahati kepada Frankie selepas merasmikan Seminar Awam bertajuk ' Menghadapi Penyakit Alzheimer' pada Sabtu.
KENT (tiga, kiri) menyampaikan cenderahati kepada Frankie selepas merasmikan Seminar Awam bertajuk ' Menghadapi Penyakit Alzheimer' pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR) menyokong penuh usaha Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer Sabah (Sabah AZ) dalam menyebarluas kesedaran awam berkaitan penjagaan pesakit Alzheimer.

Menterinya Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, kesedaran berkaitan penyakit itu perlu dipertingkatkan memandangkan kebanyakkan masyarakat kini menganggap ia sebagai fasa penuaan yang normal.

"Bilangan sebenar pesakit Alzheimer di negara ini, boleh menjadi lebih tinggi kerana kebanyakan rakyat di Malaysia menganggap AD atau demensia sebagai sebahagian normal penuaan dan mereka menganggap tidak perlu mendapatkan nasihat, bantuan perubatan atau didiagnosis.

"Oleh itu, adalah penting untuk persatuan seperti Sabah AZ berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai dan menghapus stigma tentang demensia bagi membantu pesakit ini dengan mendidik, melatih serta membantu penjaga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Seminar Awam bertajuk ' Menghadapi Penyakit Alzheimer' di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu beliau menggalakkan Sabah Az dan Jabatan Kesihatan Sabah untuk bekerjasama dengan NGO lain untuk mengadakan Latihan Seminar dan Latihan Pengasuh Awam di bandar-bandar utama seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau dan Ranau.

Selain itu Frankie berkata, kira-kira 60 peratus daripada penjaga Alzheimer dan penghidap demensia dilaporkan menghadapi tahap tekanan emosi yang tinggi ketika memberikan rawatan, manakala 40 peratus daripada mereka  mengalami kemurungan.

Katanya, ia berpunca daripada komitmen sepenuh masa dalam menjaga pesakit Alzheimer yang boleh menyebabkan tekanan fizikal, emosi, termasuklah perbelanjaan kewangan yang tinggi.  

" Perangkaan perubatan juga menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada lima orang yang berusia 80 tahun ke atas akan mengalami demensia.

" Oleh itu, akan berlaku tekanan kepada ahli penyelidik perubatan untuk mencari ubat-ubatan untuk menyembuhkan atau menghentikan penyakit ini dan kerajaan turut membelanjakan lebih banyak dalam usaha melatih lebih ramai kakitangan yang boleh menjaga orang-orang yang mengalami demensia," katanya.

Justeru katanya, adalah penting untuk  meningkatkan kualiti hidup pesakit, iaitu dengan mendedahkan keluarga dan penjaga pengetahuan dalam menguruskan penghidap penyakit Alzheimer supaya mereka dapat mengurangkan beban yang dialami.

Terdahulu, penghidap penyakit Alzheimer biasanya dihadapi oleh warga emas akan mengalami gejala seperti kehilangan ingatan, ketidakupayaan untuk berfikir dan beberapa perubahan tingkah laku.

Alzheimer’s Disease International (ADI) melaporkan bahawa kelaziman demensia di Malaysia adalah 123,000 orang pada tahun 2015 dan jumlah ini diunjurkan menjadi  261,000 menjelang 2030 dan akan terus meningkat kepada 590,000 orang pada 2050.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer Sabah (Sabah Az) Kent Chau dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Sabah Miranda.

  • oleh
  • Advertisement