Anda di sini

Christina kecam tindakan bom ikan haram ragut tiga nyawa

Advertisement
CHRISTINA LIEW
CHRISTINA LIEW

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew mengecam tindakan pengeboman ikan secara haram sehingga menyebabkan tiga kematian melibatkan dua penyelam warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan, pada Jumaat.

Katanya, kejadian yang berlaku jam 5.50 petang di perairan Semporna itu adalah satu khabar yang amat menyedihkan.

"Berita ini sangat menyedihkan bagi kami kerana kejadian ini melibatkan pengeboman ikan secara haram sehingga menyebabkan kematian kepada pelancong dan jurulatih selaman kita.

"Kami juga sudah memaklumkan kepada konsul jeneral China di Kota Kinabalu dan Ketua Menteri berhubung tragedi sedih ini. Pegawai Lembaga Pelancongan Sabah juga sudah diarahkan untuk memantau situasi itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar itu juga menjelaskan bahawa kejadian itu telah berlaku di luar kawasan Taman Marin Tun Sakaran.

Bagaimanapun, beliau menggesa supaya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), polis marin dan Jabatan Perikanan untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti melibatkan pengeboman ikan.

"Saya menyeru penalti yang lebih berat harus dikuatkuasakan ke atas sebarang aktiviti pengeboman ikan secara haram ini, termasuklah hukuman berat dan penjara.

"Justeru, saya juga menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi untuk memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden ini," katanya.

MOHAMADDIN KETAPI
MOHAMADDIN KETAPI

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi dalam satu kenyataan mengucapkan takziah dan turut mengecam tindakan nelayan yang melakukan aktiviti pengeboman ikan itu sehingga menyebabkan kematian.

Katanya, hukuman setimpal harus dikenakan kepada si pelaku bagi memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan aktiviti haram sedemikian.

"Perbuatan seumpama ini tidak hanya membahayakan pelancong, tetapi turut menganggu ekosistem di perairan yang terlibat.

"Setakat ini, saya juga sedang menunggu laporan penuh pihak polis berhubung kejadian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

  • oleh
  • Advertisement