Anda di sini

Marudu Warrior laksana kerja sosial

Advertisement
MARUDU Warrior laksana bakti sosial.
MARUDU Warrior laksana bakti sosial.

KOTA MARUDU: Pertubuhan Kebajikan Daerah Kota Marudu (Marudu Warrior) yang baru memperoleh sijil pendaftaran pertubuhan (RoS) Mei lalu, kini aktif sebagai badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan kerja amal membantu golongan daif, kurang upaya dan anak yatim.

Pengerusi dan pengasasnya Hazman Anda berkata pihaknya melaksanakan kerja sosial bagi menyahut seruan kerajaan mewujudkan masyarakat penyayang di samping memberi sumbangan bakti kepada golongan yang memerlukan.

“Kami melaksanakan pelbagai kerja sosial seperti membaiki dan mengecat rumah, jambatan kayu serta memotong rumput persekitaran secara gotong royong,” katanya selepas bersama 20 ahli membantu meratakan lantai simen rumah milik seorang warga tua di Kg Simpangan pada Selasa.

Menurut beliau, pihaknya membantu warga tua berkenaan yang sebelum ini tinggal di seberang sungai bagi memudahkannya berurusan ke hospital mendapatkan rawatan.

Hazman mengajak orang ramai mendukung usaha Marudu Warrior dengan menyalurkan sumbangan berbentuk peralatan dan bahan binaan agar lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat daripada program yang mereka laksanakan.

“Kita hanya mahu ikut serta berbakti kepada golongan yang memerlukan tanpa mengharap sebarang imbuhan apa lagi untuk memperoleh manfaat secara politik atau bersaing dengan usaha pihak lain,” katanya.

Beliau memberitahu Marudu Warrior yang dinaungi Majin Sibun menyemarakkan lagi usaha mengajak anak-anak muda di mana sebelum ini mereka turut membantu membaiki rumah golongan asnaf di Kg Nahaba Kota Belud.

SERAH bantuan kepada anak yatim.
SERAH bantuan kepada anak yatim.

Pihaknya turut menghulurkan sumbangan keperluan harian kepada mangsa kebakaran enam sekeluarga di Kg Tondig Tandek awal bulan lalu bersama Pegawai Kebajikan Daerah.

Pihak yang berminat ikut serta program khidmat sosial Marudu Warrior boleh menghubungi Hazman di 0198306300 dan Majin 0166070063.

Dalam melaksanakan program, Hazman bersyukur kerana sambutan belia pelbagai kaum amat memberangsangkan termasuk sektor swasta, ahli politik, peniaga dan individu.

  • oleh
  • Advertisement