Anda di sini

MPKK perlu sokong dasar kerajaan dan bukan parti tertentu

Advertisement


KOTA KINABALU: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diingatkan agar menyokong dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan bukannya parti tertentu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, setiap ahli MPKK perlu menjadi mata dan telinga kerajaan untuk mendengar permasalahan rakyat dan disampaikan kepada pihak berkuasa demi memastikan kemajuan serta pembangunan kampung dapat dilakukan.

"Perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat mestilah adil atau sama rata tanpa dipengaruhi oleh latar belakang seseorang.

JAUJAN (lima kiri), Che Murad (empat kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan pada majlis berkenaan.
JAUJAN (lima kiri), Che Murad (empat kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan pada majlis berkenaan.

"Kita harus sedar bahawa jawatan yang disandang adalah disertai dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas.

"Dalam hal ini, MPKK perlu mempamerkan komitmen, berintegriti dan adil dalam menyantuni semua anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang, keturunan dan pegangan agama," katanya ketika merasmikan Program Bersama Pemimpin di Kursus Induksi MPKK Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini pada Khamis.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.

Shafie berkata, antara tugas terpenting MPKK adalah memandang serius isu keselamatan kampung terutama kehadiran pendatang tanpa izin (PTI) yang berlaku di seluruh negeri.

Katanya, selaku ketua masyarakat, MPKK perlu mengambil tahu sebarang perubahan dan kemasukan anggota baharu di kampung masing-masing untuk dipastikan status dan tujuan kedatangan mereka.

"MPKK juga perlu mengingatkan semua anggota masyarakat supaya bekerjasama untuk melaporkan perkara itu sekiranya didapati berlaku di persekitaran mereka," katanya.

Shafie berkata, menjadi keutamaan MPKK adalah soal keselamatan di perkampungan atas air yang banyak dilanda bencana kebakaran kediaman sejak akhir-akhir ini.

"Untuk rekod, tahun 2018 mencatatkan peningkatan kes sebanyak 25 peratus berbanding tahun 2017, manakala bagi tempoh Januari hingga April 2019, sebanyak empat kes kebakaran dicatatkan melibatkan kemusnahan 142 rumah.

"Hal ini menunjukkan bahawa terdapatnya keperluan baharu untuk MPKK mengajak masyarakat memahami punca yang boleh menyebabkan kebakaran dan tindakan yang perlu diambil jika berlaku musibah itu.

"MPKK juga diseru supaya menjalin hubungan baik dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk saling bekerjasama dalam menangani isu ini," katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Che Murad Sayang Ramjan.Ubrep/foto/3julai/CMjaujan
 

  • oleh
  • Advertisement