Anda di sini

Gabungan legenda pop balada dalam ‘Lima Aksara’

Advertisement
 

PENANTIAN untuk berduet bersama tercapai dengan kelahiran ‘Lima Aksara’ yang didendangkan oleh duo yang terkenal di dalam industri muzik Malaysia, Ezad Lazim dan Zamani Ibrahim.

‘Lima Aksara’ mempunyai pelbagai tafsiran bagi individu yang berlainan, tetapi menurut penulis lirik lagu, Ahmad Fedtri Yahya, lagu ini membawa erti yang mendalam tentang pergantungan dan pengharapan kepada satu kuasa yang tinggi sebagai rujukan di saat ingin mengubah kehidupan menjadi lebih berkualiti.

Diterbitkan oleh Boon Tan dari Broadway Music, lagu karya Mulah ini berjaya menambat hati peminat yang telah lama menanti lagu terbaharu gandingan dua penyanyi pop balada tanah air.

ZAMANI IBRAHIM & EZAD LAZIM
ZAMANI IBRAHIM & EZAD LAZIM

Single ini juga mendapat sentuhan ajaib daripada pemain gitar Shah Nizam Abdul Halim atau Shah Slam.

Menurut satu sumber daripada Broadway Music, sememangnya menjadi impian dua sahabat baik ini untuk bekerjasama kerana mereka saling mengagumi bakat masing-masing.

“Padu, penyatuan dalam satu lagu daripada dua legenda tanah air dengan suara yang mantap dan keistimewaan tersendiri,” kata salah seorang pengguna platform Youtube di ruangan komen akaun Broadway Music.

‘Lima Aksara’ telah menemui peminat secara rasmi dengan tayangan perdana video lirik di saluran Youtube pada 28 Jun, jam 10 malam dan sehingga berita ini ditulis sudah mencapai lebih 100,000 tontonan. — Bernama

Advertisement