Anda di sini

Jangan abaikan rakyat, kata Jaujan

Advertisement
JAUJAN (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama AJK Warisan bahagian Semporna.
JAUJAN (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama AJK Warisan bahagian Semporna.

SEMPORNA: Ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) dinasihatkan agar terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat walaupun terdapat usaha sesetengah pihak ingin menggagalkan usaha murni berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, semua ahli Warisan tidak boleh abaikan rakyat sehingga menyebabkan mereka kecewa dengan pentadbiran kerajaan.

"Untuk memimpin Sabah ianya tidak hanya boleh diserahkan kepada presiden parti sahaja...semua pimpinan termasuk ahli mempunyai peranan penting dalam meneruskan pentadbiran negeri ini.

"Kita jangan ambil kisah sangat soal remeh-temah yang ditularkan dalam media sosial, itu adalah tindakan mereka yang mahu menggagalkan usaha kita membangunkan Sabah," katanya ketika dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bahagian Warisan Semporna, di sini pada Sabtu.

Beliau menegaskan perkara yang penting adalah teruskan usaha merealisasikan pembangunan Sabah dari segi ekonomi, peluang pekerjaan dan banyak lagi seperti yang dihasratkan parti.

Selain itu, Jaujan turut menjelaskan antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah kepentingan bagi meningkatkan semangat perjuangan ahli parti dengan menyahut hala tuju pembangunan negeri ini.

"Dalam mesyuarat kali ini, setelah mendapat persetujuan, kita juga melantik empat Ahli Jawatankuasa Warisan Bahagian Semporna. Ianya dilakukan mengikut perlembagaan parti yang mana 20 AJK adalah dipilih dan empat adalah lantikan.

"Kita juga melantik setiausaha baharu, bendahari baharu, ketua penerangan baharu dan salah seorang yang dilantik adalah berasal dari kaum Cina," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Warisan adalah parti berbilang kaum dan bukan parti khusus untuk satu kaum sahaja.

Menurutnya, Warisan semakin mendapat sokongan padu walaupun terdapat pihak yang cuba menghalang sokongan kekuatan parti itu.

"Saya percaya sokongan padu yang diberikan itu bukan sahaja di Semporna tetapi juga disetiap kawasan dalam negeri ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement