Anda di sini

Belia Usia perlu lebih kreatif

Advertisement
JAMAWI menyampaikan anugerah tokoh kepada salah seorang penerima.
JAMAWI menyampaikan anugerah tokoh kepada salah seorang penerima.

SIPITANG: Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) Pusat Jamawi Jaafar menggesa belia Usia untuk lebih kreatif dan proaktif bagi mengembangkan lagi syiar Islam selari dengan peredaran semasa.

Beliau berkata, pendekatan baharu perlu diambil bagi menarik minat lebih ramai anak-anak muda terhadap program keagamaan bagi memastikan mereka memiliki keperibadian yang utuh.

Jelasnya, usaha menyebarkan dakwah melalui kaedah konvensional masih juga releven namun satu usaha diperlukan bagi menarik lebih ramai golongan muda ke arah program keagamaan.

"Kita memerlukan pendekatan yang baharu bagi memastikan bukan sahaja kita dapat menarik minat umat Islam tetapi juga golongan muda kearah program keagamaan ini, " katanya.

"Kita perlu lebih kreatif dan proaktif bagi menarik anak-anak muda dan pada masa sama melahirkan ramai pendakwah golongan muda di negeri ini, " jelas Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan Usia Bahagian Sipitang yang diadakan di Dewan Kaka Motel, Sipitang.

Dalam pada itu, Ketua Usia Bahagian Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata, beliau mahu Usia di kawasan ini supaya terus bergerak aktif demi pembangunan dakwah.

Jelasnya, Usia Sipitang perlu melakukan perubahan sejajar dengan tuntutan masa kini yang begitu mencabar.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Usia Sipitang untuk lebih menonjol dengan cara 'menjenamakan semula' (rebranding) dan memperhebatkan lagi program-program keagamaan yang menjurus ke peringkat akar umbi.

Pada majlis itu, Jamawi turut menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli-ahli Skuad Usia Sipitang dan penyampaian anugerah 'Ahli Berjasa' sempena majlis itu.

  • oleh
  • Advertisement