Anda di sini

Sambutan raya, kerja amal pengerat silaturahim

Advertisement
HAJIJI (tengah) dan G. Mohan (empat dari kanan) semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya dan Kerja Amal Hospital Tuaran.
HAJIJI (tengah) dan G. Mohan (empat dari kanan) semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya dan Kerja Amal Hospital Tuaran.

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Raya dan Kerja Amal Hospital Tuaran mampu mengeratkan silaturahim dan perpaduan di antara kaum di kalangan kakitangan hospital berkenaan.

Ahli Dewan Undangan (Adun) N.10 Sulaman Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor berkata, usaha pihak hospital untuk bersama-sama meraikan sambutan Aidilfitri tanpa gagal sejak 2010 wajar dipuji.

"Sambutan yang diraikan dengan penuh rasa persaudaraan ini menunjukkan keunikan yang ada di Sabah sama seperti setiap perayaan yang diraikan dengan penuh meriah tanpa mengira bangsa dan agama.

"Perpaduan dan persefahaman ini perlu dikekalkan dan dipelihara bagi menjamin kesejahteraan serta keharmonian rakyat kerana ini juga merupakan salah satu faktor yang membawa kepada kemajuan negeri Sabah.

"Tahniah dan syabas kepada Pengarah Hospital Tuaran Dr G. Mohan Gopal Naidoo serta semua kakitangan hospital di atas penganjuran sambutan.

"Diharapkan penganjuran majlis ini juga dapat meningkatkan kerjasama serta kualiti kerja semua warga hospital," ujarnya semasa merasmikan majlis tersebut pada Khamis.

Pada majlis itu, seramai 13 orang anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Tuaran menerima duit raya.

Turut diadakan adalah penyampaian bantuan kewangan sebanyak RM1,432 yang diserahkan kepada rumah tersebut hasil sumbangan daripada kakitangan hospital berkenaan.

Pelbagai acara turut diadakan bagi memeriahkan sambutan tersebut antaranya pesembahan busking, cabutan bertuah dan pertandingan peragaan kanak-kanak.

Turut hadir, Pegawai Daerah Tuaran Mohd Sofian Alfian Nair dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Pengurusan) Dr Muharrir Kamaruddin.

Advertisement