Anda di sini

Pemimpin PKR digesa patuhi saranan pimpinan pusat

Advertisement

LABUAN: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) semua peringkat harus patuh saranan pimpinan pusat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan umum agar tidak mengeruhkan keadaan politik semasa negara.

Ketua penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Simsudin Sidek berkata kenyataan umum sama ada berbentuk menyokong atau membantah seharusnya dibincangkan melalui saluran dalam parti untuk penyelesaian bersama.

“Tidak perlulah dibincangkan secara umum perihal dalaman parti sedangkan ia harus diselesaikan secara muafakat dalam kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama semalam.

Beliau merujuk kepada kenyataan umum Ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid yang menyokong kepada pemecatan ketua pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terlibat dalam kes video semburit yang masih dalam siasatan polis.

“Kenyataan seperti itu hanya mengeruhkan keadaan dan melambatkan proses penyelesaian.

“Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan yang dipersetujui oleh Biro Politik parti dan ia harus dihormati dan dipatuhi demi memelihara perpaduan parti,” katanya.

Simsudin, yang  juga ketua PKR Labuan, berkata, sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), anggota itu sepatutnya menghormati keputusan Biro Politik yang mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh pimpinan utama parti.

“Seharusnya, setiap pimpinan perlu mempertahankan keputusan bersama di dalam mesyuarat dan di luar mesyuarat,’ katanya.

Tambahnya pendekatan secara rasional dengan mengambil kira setiap pandangan pimpinan sebelum membuat keputusan adalah yang dianjurkan daripada mengikut gerak emosi yang hanya mementing kelompok tertentu semata-mata,” katanya.

“Sebagai pemimpin seharusnya mengambil kira pandangan pemimpin di peringkat lain dan Majlis Pimpinan Negeri sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian parti terutama di Sabah dan Labuan,” katanya. — Bernama

Advertisement