Anda di sini

Kerajaan negeri akan naiktaraf jalan raya di Pantai Timur

Advertisement
SHAFIE (duduk, tengah) merakam gambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada Majlis Hari Raya Aidifitri yang diadakan di kediaman Timbalan Speaker DUN Datuk Ahmad Rahman (duduk, kiri).
SHAFIE (duduk, tengah) merakam gambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada Majlis Hari Raya Aidifitri yang diadakan di kediaman Timbalan Speaker DUN Datuk Ahmad Rahman (duduk, kiri).

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menaiktaraf kemudahan jalan raya di Pantai Timur Sabah khususnya di Jalan Tawau-Kalabakan ke pedalaman dan juga Tawau ke Semporna.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, usaha itu perlu bagi menampung kehadiran jumlah pelancong yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.

"Kita sudah berbincang dengan Menteri Kerja Raya Baru Bian ketika lawatannya di sini berhubung kait pembinaan jalan raya di mana kita mahu meningkatkan sektor pelancongan khususnya di Pantai Timur Sabah.

"Laluan di kawasan ini dilihat sudah tidak sesuai dengan penambahan jumlah pelancong yang sudah pun meningkat, maka perlu bagi kita memastikan kemudahan ini dapat kita laksanakan," katanya ketika hadir pada Majlis Hari Raya di kediaman Timbalan Speaker Dun Datuk Ahmad Rahman, di sini pada Sabtu.

Shafie berkata demikian bagi menjawab soalan berhubung hasil pertemuannya bersama Menteri Kerja Raya di pejabatnya pada Jumaat lepas.

Mengulas perkembangan projek Pan Borneo, katanya, perbincangan antara beliau dengan Menteri Kewangan Pusat Lim Guan Eng sudah pun dilaksanakan berhubung laporan status akhir projek itu.

"Saya harap dia (Guan Eng) ada persediaan dan kertas Kabinet perlu disediakan di peringkat pusat bagi membolehkan kita percepatkan pelaksanaan Pan Borneo.

"Namun, kita harus lihat keperluan dan kepentingan pembinaan prasarana ini kerana kita perlu sedar wujud kekangan kewangan, dan saya tidak mahu akan banyak berlaku pembaziran," katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Perwisa merangkap isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri  Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, dan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai.

  • oleh
  • Advertisement