Anda di sini

Permainan telefon bimbit baharu untuk peminat tegar kumpulan BTS

Advertisement
 Satu iklan untuk permainan watak ‘BTS World’ di stesen kereta api bawah tanah di Seoul pada 25 Jun lepas. Sejuta peminat kumpulan remaja lelaki K-pop BTS sudah mendaftar diri untuk meletakkan kumpulan penyanyi tersebut di hujung jari mereka apabila sebuah permainan telefon bimbit mengenai mereka dikeluarkan pada minggu ini, demikian menurut laporan.   — Gambar AFP
SAMBUTAN HEBAT: Satu iklan untuk permainan watak ‘BTS World’ di stesen kereta api bawah tanah di Seoul pada 25 Jun lepas. Sejuta peminat kumpulan remaja lelaki K-pop BTS sudah mendaftar diri untuk meletakkan kumpulan penyanyi tersebut di hujung jari mereka apabila sebuah permainan telefon bimbit mengenai mereka dikeluarkan pada minggu ini, demikian menurut laporan. — Gambar AFP

SEJUTA peminat kumpulan remaja lelaki K-pop BTS sudah mendaftar diri untuk meletakkan kumpulan penyanyi tersebut di hujung jari mereka apabila sebuah permainan telefon bimbit mengenai mereka dikeluarkan pada minggu ini, demikian menurut laporan.

‘BTS World’ – yang bakal dikeluarkan di 176 buah negara dalam 14 bahasa pada Rabu – merupakan satu permainan watak di mana pengguna adalah pengurus kumpulan, yang merekrut dan melatih pemuzik selain membimbing kumpulan itu dalam usaha mereka mencari kemasyhuran.

Pengurus dan ejen merupakan pemacu di sebalik industri K-pop, dengan menggunakan kawalan yang meluas ke atas kumpulan bintang mereka, dan bukannya pemuzik yang membentuk kumpulan sendiri dan berusaha untuk menarik perhatian.

BTS sudah membentuk pengikut global sejak beberapa tahun lalu, menjadi kumpulan K-pop pertama untuk menduduki tempat teratas carta di Amerika Syarikat dan Britain dengan beberapa pertunjukan yang laris di Los Angeles, Chicago dan Stadium Wembley, London.

Pemuzik dengan rambut yang menggelepai itu, berusia 21 hingga 26 tahun dan sering memakai subang dan gincu, menarik minat generasi yang rasa selesa dengan idea identiti jantina yang dapat berubah.

Lagu single mereka yang hit ‘Boy With Luv’ memecah rekod YouTube bagi tontonan paling banyak dalam masa 24 jam, dengan 74.6 juta hit ketika ia dikeluarkan pada April lalu.

‘BTS World’ turut memuatkan video dan gambar eksklusif BTS selain panggilan video bersama anggota kumpulan tersebut.

Dengan menggunakan cara lain dalam permainan itu, seseorang pemain dapat memilih anggota BTS untuk kembali ke zaman kanak-kanaknya dan kehidupan yang jauh dari pentas – malah mungkin sebagai seorang penanam strawberi.

Permintaan bagi aplikasi itu telah mendorong penerbitnya Netmarble – pencipta aplikasi telefon bimbit terbesar di Korea Selatan – untuk merancang sebuah permainan baharu yang memaparkan kumpulan septet tersebut dan kini pada “peringkat awal”, kata seorang eksekutif syarikat kepada AFP.

Netmarble tidak dapat mendedahkan jumlah pengguna yang sudah mendaftar awal untuk permainan itu, kata pegawai tersebut, tetapi laporan di Korea Selatan menganggarkan angkanya sekitar sejuta.

Akaun Twitter ‘BTS World’, yang disahkan, mempunyai 1.3 juta pengikut, dengan setiap daripada 90 posnya ditweet semula ratusan ribu kali.

“Saya tidak bermain permainan telefon bimbit tetapi saya tidak sabar lagi menunggu ‘BTS World’,” kata Jessica Kim, seorang peminat berusia 33 tahun di Vancouver yang pergi dua kali ke Los Angeles untuk menonton konsert BTS.

Permainan berkenaan dapat dimuat turun secara percuma, tetapi pengguna dapat membayar untuk mempercepatkan proses – setiap kali sesuatu misi itu dilepasi, gambar atau video BTS baharu akan dibuka.

BTS – atau Bangtan Sonyeondan, yang diterjemah sebagai Bulletproof Boy Scouts – memelihara hubungan yang erat dengan peminat mereka, membanjiri media sosial dengan swafoto, video dan tweet dalam bahasa Korea dan bahasa Inggeris.

Populariti mereka sudah diterjemahkan kepada keuntungan bernilai berbilion dolar bagi syarikat mereka, Big Hit, yang malah berkolaborasi dengan pembuat patung Barbie, Mattel, untuk anak patung BTS.

Penghibur Korea Selatan seperti Psy – dengan lagu hitnya pada 2012 ‘Gangnam Style’ yang telah menjadi video pertama untuk mencecah satu bilion tontonan dalam YouTube – sebelum ini pernah menembusi pasaran Barat, tetapi tiada yang dapat mencapai kejayaan berterusan seperti BTS. — AFP

Advertisement