Anda di sini

Yie Bing, Samuel bawa cabaran negara

Advertisement
YIE Bing (kiri) dan Samuel akan membawa cabaran negara ke  Kejohanan Renang Kumpulan Umur SEA Ke-43 2019 di Phnom Penh, Cambodia, 28-20 Jun.
YIE Bing (kiri) dan Samuel akan membawa cabaran negara ke  Kejohanan Renang Kumpulan Umur SEA Ke-43 2019 di Phnom Penh, Cambodia, 28-20 Jun.

KOTA KINABALU: Dua perenang muda Sabah Loo Yie Bing dan Samuel Ng Chong Cheng terpilih membawa cabaran negara ke Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara (SEA) Ke-43 2019 di Phnom Penh, Cambodia, 28-20 Jun.

Kedua-dua perenang dari Sandakan itu akan menyertai 26 perenang lain membawa cabaran negara ke kejohanan tahunan yang akan berlangsung selama tiga hari di  Morodok Techo National Sports Complex, Chroy Jong Va, Phnom Penh. 

Kedua-duanya telah terpilih selepas melepasi kelayakan yang ditetapkan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) semasa Kejohanan Kumpulan Umur Negara (NAG) Malaysia di Bukit Jalil pada Mac lalu.

Yie Bing terpilih selepas memecahkan rekod acara 50m dan 100m gaya bebas perempuan yang sebelumnya juga dimiliki perenang Sabah.

Pelajar SJK Pui Gin Sandakan berusia 12 tahun itu memecahkan rekod lama 1:00.55s milik Evon Heng Kor Jin dengan catatan 1:00.46s dalam acara 100m gaya bebas.

Yie Bing kemudiannya memecahkan rekod lama 28.12s berusia 15 tahun milik Leung Chii Lin dengan catatan 27.96s dalam acara 50m gaya bebas.

Samuel pula layak menerusi kategori B dalam acara 50m gaya bebas lelaki. Pelajar SMK Muhibbah Sandakan berusia 13 tahun itu memecahkan rekod lama milik perenang Pulau Pinang, Tong Yu Jing.

Pemangku Presiden Persatuan Sukan Akuatik Sabah (SASA) Patrick Laing Ngau mengucapkan tahniah dan berharap kedua-dua perenang muda itu dapat memberikan persembahan terbaik.

"Kami juga gembira kerana jurulatih kita Elvin Chia turut dipilih oleh ASUM sebagai salah seorang jurulatih pasukan ke kejohanan itu," katanya dalam kenyataan medianya, Selasa.

Menurutnya, Kejohanan Kumpulan Umur SEA adalah salah satu kejohanan sasaran SASA di samping Sukan Sekolah ASEAN.

Beliau berkata, aktiviti lain SASA bulan depan adalah penyertaan atlet terjun ke Karnival Bakat Sukan Terjun Siri 1/2019 pada 13-14 Julai dan Kejohanan Terhun Kumpulan Umur Sportexcel pada 27-28 Julai.

Atlet renang pula akan ke pertandingan pusingan pertama Junior Splash Swim ASUM pada 19-21 Julai.

Kesemua pertandingan pada Julai itu akan berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Patrick berkata, kejayaan SASA selama ini adalah atas kerjasama serta sokongan berterusan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah.

  • oleh
  • Advertisement