Anda di sini

Pengekalan warisan Melayu Seberang Hilir elemen penting pembangunan Darul Hana

Advertisement
 Dr Abdul Rahman menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri PBB Kampung Panglima Seman Ulu di Kuching, baru-baru ini.
AMANAT: Dr Abdul Rahman menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri PBB Kampung Panglima Seman Ulu di Kuching, baru-baru ini.

KUCHING: Pengekalan warisan masyarakat Melayu kawasan Seberang Hilir akan menjadi elemen penting dalam pembangunan Darul Hana, kata Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurut beliau, walaupun mempunyai persekitaran serba moden, namun warisan lama masyarakat Melayu kawasan Seberang Hilir akan turut dikekalkan di Darul Hana.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju membina Muzium Warisan Melayu Darul Hana bagi menyimpan warisan lama.

“Ia penting supaya generasi akan datang dapat mengimbau warisan lama sekali gus menjadi komponen penting dalam pembangunan Darul Hana,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiptera Bersatu (PBB) Kampung Panglima Seman Ulu di sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata, ledakan zaman teknologi sekarang membuatkan masyarakat kurang terlibat dengan aktiviti keramaian terutama semasa perayaan.

“Maka, adalah penting untuk masyarakat kembali menghidupkan budaya terlibat dalam aktiviti keramaian,” ujarnya sambil menggesa masyarakat kampung terus mengekalkan perpaduan yang diamalkan sejak turun temurun.

Dr Abdul Rahman berkata, perpaduan perlu dikekalkan agar rakyat dapat hidup aman dan makmur sekali gus dapat dinikmati dan diwarisi generasi akan datang.

Beliau dalam pada itu menasihati masyarakat kampung  terutama  dalam konstituensinya  agar sentiasa peka dan berhati-hati dengan anasir luar yang cuba menggugat perpaduan dan keharmonian negeri ini.

“Kita harus mengutamakan perpaduan dan meningkatkan semangat kejiranan dan tidak mengambil sikap sambil lewa supaya tiada berlaku elemen perpecahan dalam kampung yang akan merugikan masyarakat kita,” katanya.

Turut hadir Penghulu Sidek Sitam dan Penghulu Sulaiman Alem.

Advertisement