Anda di sini

KPDRM umum kadar dividen 14 peratus

Advertisement
ABDUL HAMID BADOR - Gambar fail Bernama 

KUALA LUMPUR: Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) mengumumkan pemberian kadar dividen 14 peratus bagi tahun kewangan 2018.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata pemberian berkenaan merangkumi dividen 6.5 peratus atas modal yuran sementara dividen 7.5 peratus atas modal syer.

"Kadar dividen terkumpul bagi kedua-dua modal adalah 14 peratus dan koperasi memperuntukkan RM26.8 juta untuk dikreditkan ke dalam akaun gaji anggota dalam tempoh 14 hari bermula hari ini,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KPDRM ke-84 di sini, hari ini.

"Saya mengucapkan syabas kepada Kop Mantap Berhad di atas prestasi cemerlang sehingga mampu memberikan dividen RM6 juta bagi tahun 2018 kepada koperasi berbanding RM3 juta pada tahun 2017 dan saya dimaklumkan ini adalah pemberian tertinggi pernah diberikan," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata memasuki 91 tahun penubuhan, koperasi itu semakin matang dan berada pada landasan positif untuk memacu ekonomi anggota-anggotanya.

"Keanggotaan koperasi dilihat meningkat tahun demi tahun dan saya dimaklumkan sehingga 30 April 2019, jumlah keanggotaan adalah seramai 102,429 orang," katanya. - Bernama

Advertisement