Anda di sini

Operasi Ketam kutip tunggakan hampir RM16 juta

Advertisement
CHRISTINA (lima kiri) bersama Amrullah (empat kiri), Timbalannya Tony Koh (tiga kiri) dan Peter (empat kanan) di Majlis Mesra Sempena Hari Raya. Turut sama Presiden Dewan Perniagaan Tiong Hua Tawau Chia Seong Fatt (tiga kanan), Pengerusi Persatuan Pemberita Tawau Hiew Chee Hing (dua kiri) dan Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Low Hong Tat (kanan).
CHRISTINA (lima kiri) bersama Amrullah (empat kiri), Timbalannya Tony Koh (tiga kiri) dan Peter (empat kanan) di Majlis Mesra Sempena Hari Raya. Turut sama Presiden Dewan Perniagaan Tiong Hua Tawau Chia Seong Fatt (tiga kanan), Pengerusi Persatuan Pemberita Tawau Hiew Chee Hing (dua kiri) dan Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Low Hong Tat (kanan).

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan menjalankan Operasi Ketam bagi menangani isu tunggakan cukai taksiran atau cukai pintu bernilai hampir RM16 juta.

Presidennya Datuk Ir Amrullah Kamal berkata Tawau mengalami banyak tunggakan berikutan segelintir pemilik rumah atau premis perniagaan gagal membayar cukai mengikut tempoh ditetapkan.

“Operasi ini akan dijalankan dalam masa terdekat. Operasi Ketam digunakan supaya kita dapat menarik orang ramai menjelaskan tunggakan demi kebaikan bersama.

“Jika kita mampu untuk menangani tunggakan itu maka akaun kita boleh menjadi positif semula dan kita mempunyai kewangan untuk membangunkan daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Mesra dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan alam Sekitar Datuk Christina Liew, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas dan wakil-wakil rakyat.

Amrullah berkata objektif untuk beliau menerajui Tawau adalah untuk membangunkan daerah ini ke tahap lebih baik.

Bagi merealisasikan objektif itu, beliau mencari kaedah untuk menyediakan kewangan sebelum pembangunan yang lebih pesat dijalankan.

“Sebelum pembangunan lebih pesat dijalankan, kita perlu menyelesaikan masalah sedia ada dialami di daerah ini seperti banjir, masalah jalan raya, air dan perkhidmatan pembetungan.

“Jadi untuk memastikan masalah ini tidak lagi berulang, kita memerlukan banyak kewangan. Oleh itu, kita kena ada pemikiran luar dari kotak untuk tangani masalah ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai tunggakan supaya menjelaskan dalam masa terdekat sebelum tindakan diambil terhadap individu terbabit.

“Jika gagal membayar, individu berkenaan akan disenarai hitam Credit-Tip-Off (CTOS) di mana mereka tidak lagi boleh membuat pinjaman.

“Selain itu, bagi mereka yang memiliki perniagaan, kita juga akan menyekat mereka daripada memperbaharui lesen perniagaan atau sebagainya. Jika sudah membayar tunggakan barulah mereka dapat perbaharuinya,” jelasnya.

Advertisement