Anda di sini

Dakwaan tidak berasas

Advertisement
 Awang Tengah (empat kanan) dan Dr Abdul Rahman (tiga kanan) serta yang lain memotong pulut kuning bagi merasmikan Majlis Badudun Aidilfitri di PCC semalam.
SIMBOLIK: Awang Tengah (empat kanan) dan Dr Abdul Rahman (tiga kanan) serta yang lain memotong pulut kuning bagi merasmikan Majlis Badudun Aidilfitri di PCC semalam.

KUCHING: Menteri Kewangan Lim Guang Eng jelas telah memandang rendah kebolehan rakyat Sarawak mengurus kewangan negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dakwaan Lim yang juga setiausaha agung DAP bahawa Sarawak bakal bankrap dalam tempoh tiga tahun di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah tidak berasas.

Malah beliau menegaskan bahawa dakwaan Lim itu adalah untuk kepentingan politik.

“Bagi saya kenyataan itu (Lim) lebih kepada politik. Buktinya dari segi pengurusan kewangan untuk tempoh bertahun-tahun laporan AG (Ketua Audit Negara), Sarawak adalah negeri yang mempunyai pengurusan kewangan terbaik di Malaysia.

“Apa yang dikatakan oleh dia (Lim) itu jelas seolah-olah memperkecilkan (kebolehan) orang Sarawak. Orang Sarawak bukannya bodoh.

“Ini bukan cakap politik tetapi berdasarkan laporan AG sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Dangsanak Limbang Kuching di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini, semalam.

Justeru Awang Tengah yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata rakyat Sarawak harus faham keadaan sebenar dan tidak lagi menjadi alat semata-mata untuk kepentingan Pakatan Harapan (PH).

“Cukuplah, orang Sarawak harus faham. Mereka (pemimpin PH) kononnya lebih hebat, jadi kita tengoklah bagaimana mereka mengurus dari segi ekonomi Malaysia. Kita tengok, kita tengok.

“Bagi saya dakwaan dia (Lim) boleh dikatakan ironik dan seolah-olah kita ini (orang Sarawak) bodoh. Semua dikatakannya adalah bermotifkan politik,” ujarnya.

Pada Jumaat, Lim ketika berucap pada satu majlis di sini, mendakwa Sarawak bakal bankrap dalam tempoh tiga tahun akan datang jika terus di bawah kepimpinan GPS.

Beliau memberitahu, dengan Belanjawan Sarawak sebanyak RM11 bilion pada tahun ini dan dua tahun seterusnya, maka semua rizab negeri iaitu sebanyak RM30 bilion akan habis digunakan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak bersama-sama menyingkirkan GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang dan menggantikan kepimpinan negeri kepada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ia penting untuk memastikan negeri ini mendukung setiap usaha yang dilakukan kerajaan pusat dalam mengembalikan semula hak negeri ini.

Malah, beliau berkata kerajaan negeri di bawah GPS juga gagal memenuhi aspirasi rakyat Sarawak apabila bersama UMNO dan PAS tidak menyokong pindaan Rang Undang-Undang Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada Persidangan Dewan Rakyat 9 April lalu.

“Singkirkan mereka (GPS) dan gantikan dengan kerajaan negeri di bawah PH yang akan menyokong usaha kerajaan pusat untuk mengembalikan status dan hak negeri ini,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement