Anda di sini

Usahakan kawasan padang ragut

Advertisement
MESYUARAT bersama dengan pemegang amanah padang ragut.
MESYUARAT bersama dengan pemegang amanah padang ragut.

TAMBUNAN: Pegawai Daerah Tambunan Jumain Abdul Ghani meminta pemegang pemegang amanah padang ragut di setiap kampung dalam di daerah ini mengusahakan padang ragut di kawasan mereka.

Katanya, ini bagi membolehkan masalah haiwan seperti lembu dan kerbau yang berkeliaran di kawasan jalan raya utama dan kawasan kebun serta pekan dapat diselesaikan dengan meletakkan haiwan tersebut di kawasan padang ragut.

“Dengan demikian, para pemilik haiwan ternakan berkenaan akan dapat mengawal pergerakan haiwan mereka seterusnya menjalankan penternakan haiwan dalam kawasan tersebut," tegasnya.

Menurut beliau, kawasan padang ragut di daerah ini adalah seluas 25,527.46 ekar.

"Dan sudah sampai masanya untuk dibangunkan sebagai kawasan perternakan haiwan berikutan kawasan padang ragut ini terletak di kampung-kampung memiliki keluasan yang sesuai untuk aktiviti demikian,"katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada mesyuarat bersama Ketua-ketua Kampung selaku Pemegang Amanah Padang Ragut Tambunan di sini baru-baru ini.

Selain menjadi tempat ternakan haiwan, kawasan ini juga boleh menjadi tarikan pelancong sekiranya diusahakan dengan perancangan yang betul.

Mengambil contoh kawasan pelancongan dan penternakan lembu salah satu daerah di Sabah beliau mencadangkan kepada para usahawan belia di daerah ini agar mengambil peluang mengusahakan kawasan padang ragut sebagai ‘cattle feedlot’.

Katanya,usaha ini dapat menjana pendapatan ekonomi berikutan permintaan dalam produk ini sentiasa ada.

Katanya, setakat ini sebahagian padang ragut yang sedang dibangunkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veteriner antaranya memagar dan menanam rumput untuk makanan ternakan.

"Namun masih belum mencukupi untuk menampung keperluan haiwan ternakan dan kita mengharapkan kerjasama dari belia dan penduduk kampung untuk memperkasakan lagi pembangunan kawasan ini," jelasnya.

Beliau juga mengalu-alukan pelabur dari luar untuk membangunkan kawasan padang ragut di sekitar daerah ini dengan mematuhi syarat dan terma yang dikeluarkan oleh pemegang amanah.

Turut hadir, Abdul Manap Aneh Pegawai dari Jabatan Tanah dan Ukur Kota Kinabalu, Ketua Anak Negeri,Wakil Ketua Anak Negeri,Ketua Daerah Tambunan,Pegawai Kemajuan Masyarakat serta Pemaju-Pemaju Mukim Daerah Tambunan.

Advertisement