Anda di sini

Tiga maut, ramai dikhuatiri tertimbus

Advertisement
 Penyelamat menggunakan jentolak untuk membersih puing selepas bangunan yang sedang dibina di Sihanoukville runtuh, semalam. — Gambar AFP
MENCARI MANGSA TERTIMBUS: Penyelamat menggunakan jentolak untuk membersih puing selepas bangunan yang sedang dibina di Sihanoukville runtuh, semalam. — Gambar AFP

PHNOM PENH: Sekurang-kurangnya tiga orang maut apabila sebuah bangunan yang sedang dibina runtuh di sebuah pusat peranginan pantai di Kemboja pada awal semalam, kata pegawai, dengan kebimbangan bahawa puluhan lagi mungkin tertimbus di bawah runtuhan.

Bangunan tujuh tingkat tersebut di bandar tepi pantai Sihanoukville, milik sebuah syarikat dari China, runtuh bersama pekerja di dalamnya.

“Kami sudah mengeluarkan satu mayat dan kami melihat dua lagi mayat masih tersangkut antara puing,” kata Yun Min, selaku gabenor wilayah Preah Sihanouk, kepada AFP, dan menambah 13 cedera.

Gambar menunjukkan jentera pengorek menggali puing yang rata untuk mencari puluhan pekerja lain yang dikhuatiri terperangkap di dalam.

“Terdapat lebih 30 orang dalam timbunan puing dari bangunan tersebut,” kata Menteri Penerangan Khieu Kanharith dalam satu paparan Facebook, sambil memetik saksi.

Beliau berkata semua mangsa yang terkorban adalah warga Kemboja, termasuk dua pekerja dan seorang penterjemah.

Bangunan terbabit dimiliki seorang warganegara China yang menyewa tanah itu daripada seorang pemilik dari Kemboja, tambah Gabenor Yun Min.

Sihanoukville dahulunya merupakan kawasan perikanan yang sepi sebelum ia dituntut terlebih dahulu oleh pengembara Barat, dan kemudian orang Rusia yang kaya.

Pelaburan China telah membanjiri negara sejak beberapa tahun lalu, yang mencetuskan kepesatan pembangunan di sebuah bandar peranginan yang terkenal kerana kasinonya berjaya menarik masuk pelancong tanah besar.

Terdapat puluhan kompleks hotel dan kira-kira 50 kasino milik warga China sedang dalam pembinaan.

Antara 2016 hingga 2018, AS$1 bilion (RM4 bilion) dilaburkan oleh kerajaan China dan perniagaan swasta dalam wilayah Preah Sihanouk, menurut statistik rasmi.

Kemboja, salah sebuah negara paling mundur di Asia, mempunyai undang-undang keselamatan dan perlindungan buruh yang terkenal longgar. — AFP

Advertisement