Anda di sini

Tak perlu terlalu beremosi dengan kenyataan 'Sarawak bakal muflis' - Chong

Advertisement
Chong menunjukkan pengiraan Bajet Sarawak pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen memberitahu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari dan semua Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya tidak terlalu beremosi dengan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng. 

Menurut Chong, kenyataan yang dibuat oleh Lim bahawa Sarawak bakal muflis dalam masa tiga tahun jika terus diperintah GPS mungkin tidak menyenangkan. 

Tetapi menurut Chong, melihat kepada cara Abang Johari membelanjakan wang negeri, ia adalah amat menakutkan. 

“Kenyataan Lim mungkin pahit untuk diterima namun beliau bercakap sebagai Menteri Kewangan. Sebagai Menteri Kewangan beliau ada maklumat mengenai situasi kewangan semua negeri. 

“Ini adalah fakta yang anda tidak dapat sembunyikan dan saya memberitahu Abang Johari serta semua GPS supaya tidak beremosi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini. 

Chong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menambah, cara Abang Johari membelanjakan wang negeri sangat menakutkan dimana terlalu banyak projek hot air dalam perancangan beliau. 

Salah satu daripadanya, Aliran Transit Ringan (LRT), bas hidrogen dan liputan 5G atau 7G termasuk pembinaan jalan pesisir dan jalan utama kedua. 

“Saya tidak tahu bagaimana beliau (Abang Johari) mahu melakukannya, tetapi yang pasti ia menelan perbelanjaan berbilion ringgit,” ujar Chong. 

Lim sebelum ini mendakwa, Sarawak akan menghabiskan simpanan negeri sehingga  RM31 bilion dalam masa tiga tahun ini jika Sarawak terus memperuntukan RM11 bilion untuk bajet tahunannya. 

Sarawak memperuntukan bajet terbesar RM11 bilion tahun ini dengan tambahan pendapatan RM3.8 bilion dari cukai jualan lima peratus yang dikenakan ke atas produk petroleum. 
 

  • oleh
  • Advertisement