Anda di sini

Sekolah platform pupuk perpaduan generasi muda

Advertisement
MATBALI merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang hadir pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Keluarga SK Lumat.
MATBALI merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang hadir pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Keluarga SK Lumat.

BEAUFORT: Institusi pendidikan seperti sekolah bukan sahaja memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak tetapi turut menjadi landasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan Matbali Musah berkata, perpaduan khususnya di negeri ini sememangnya telah wujud sejak sekian lama namun dengan cabaran masa kini, usaha mengukuhkan semangat perpaduan perlu dipupuk dari awal.

Jelasnya, usaha tersebut dilihat amat sesuai jika dipraktikkan di peringkat awal bermula dari sekolah rendah kemudian diteruskan ke institusi pengajian tinggi demi memastikan anak-anak memiliki semangat perpaduan yang utuh.

"Di sekolah, anak-anak memang fokus terhadap pembelajaran, akan tetapi jika mereka sering didedahkan dengan amalan toleransi, tidak mustahil kehidupan mereka pada masa hadapan akan lebih baik, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Keluarga Sekolah Kebangsaan (SK) Lumat serta majlis Sambutan Hari Guru dan Hari Raya 2019 anjuran Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) dan SK Padas Damit, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Matbali turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas komitmen serta usaha mereka mencurahkan ilmu pendidikan kepada anak-anak walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Beliau berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran namun ia tidak langsung mematahkan semangat untuk mendidik malah dijadikan sebagai dorongan untuk melakukan yang lebih baik demi anak didik.

Selain guru, Matbali turut memuji semangat ibu bapa atas dorongan dan sokongan mereka terhadap pendidikan melalui penglibatan proaktif para ibu bapa dalam aktiviti sekolah menerusi PIBG masing-masing.

Justeru katanya, gandingan ibu bapa dan guru sudah tentu dapat membawa banyak perubahan terutama dari segi pendidikan anak-anak dan usaha tersebut perlu diteruskan sepanjang masa bagi menjamin pembangunan ilmu.

  • oleh
  • Advertisement