Anda di sini

PVATMS sokong saranan KM pindah kekuatan ketenteraan

Advertisement
MARSHID bersama sebahagian jawatankuasa persatuan negeri dan cawangan Lahad Datu.
MARSHID bersama sebahagian jawatankuasa persatuan negeri dan cawangan Lahad Datu.

LAHAD DATU: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sabah (PVATMS) menyokong saranan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memindahkan kekuatan ATM di Kem Lok Kawi ke pantai timur.

Menurut Yang Dipertuanya, Marshid Mohd Salleh, saranan tersebut amat relevan kerana keperluan kekuatan ketenteraan lebih diperlukan terutama di Lahad Datu yang sering diancam aktiviti jenayah.

Katanya, selain itu potensi besar dalam industri pelancongan di daerah itu dapat direalisasikan pembangunannya yang seterusnya meyakinkan pelabur asing dari aspek keselamatan.

"Kita juga melihat perkembangan ini sebagai satu usaha memperkukuh keselamatan di perairan sempadan di laut yang luas.

"Persatuan juga mencadangkan  agar Sabah Border Scouts (SBS) yang pernah diwujudkan bagi tujuan membanteras aktiviti jenayah di persempadanan negara suatu masa lalu diaktifkan semua.

"Ahli persatuan bersedia untuk berkhidmat dalam SBS kerana kemahiran yang sedia ada pada setiap ahli boleh digembleng bagi mencapai tujuan pertahanan dan keselamatan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Mesyuarat Agung PVATMS cawangan Lahad Datu, di sini pada Sabtu.

Mursid berkata, sudah tiba masanya ahli persatuan dilibatkan menjayakan misi keselamatan kerana kelayakan fizikal dan mental yang dimiliki ahli boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, kebanyakan ahli masih bersedia berkhidmat dan membantu dari sudut perkongsian ilmu dan pengalaman serta kepakaran dalam ketenteraan.

"Bukan itu saja, ahli keluarga khususnya anak-anak tentera juga boleh dilatih untuk tujuan itu," katanya.

Marshid memuji pentadbiran kerajaan baharu Sabah telah melaksana perubahan yang lebih baik demi rakyat.

Katanya, kerajaan baharu yang terajui kepimpinannya oleh Shafie telah menterjemah hasrat dan keinginan rakyat untuk diberi perhatian dan keutamaan dalam pelbagai permasalahan tempatan.

"Dari persatuan ini, saya berharap kerajaan baharu akan terus membela kebajikan ahli kerana ianya satu keperluan setiap ahli yang pernah menabur bakti berkorban masa, tenaga dan mempertaruhkan nyawa demi keselamatan, keamanan negara," katanya.

  • oleh
  • Advertisement