Anda di sini

Penyatuan masyarakat pelbagai kaum penting untuk majukan negara

Advertisement
MUSBAH (lima kanan) menumbuk padi dalam lesung ketika merasmikan Pesta Kaamatan PPK Kota Belud.
MUSBAH (lima kanan) menumbuk padi dalam lesung ketika merasmikan Pesta Kaamatan PPK Kota Belud.

KOTA BELUD: Perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat dicapai dan dikekalkan sekiranya kepelbagaian budaya dijaga dan diketengahkan dengan penuh syukur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Datuk Musbah Haji Jamli berkata penyatuan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini adalah kaedah penting bagi memajukan negara.

“Kepelbagaian kaum dan agama perlu dihayati dengan penuh hormat kerana elemen itu adalah komponen penting entiti budaya dalam jalinan ikatan kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Malah kita yakin, jika kepelbagaian dijaga, kita bukan sahaja dapat memupuk perpaduan, bahkan juga kita mampu menerapkan kasih sayang dari aspek kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Belud bersama Unit Peladang Mukim Rosok Bangkahak di sini pada Sabtu.

Musbah percaya dengan meraikan perayaan kebudayaan pelbagai kaum dapat menjadi salah satu wadah dalam menyatukan semua lapisan rakyat di negeri ini khususnya daerah Kota Belud.

"Kebersamaan juga dapat menjadi landasan usaha kerajaan membangunkan serta memajukan negeri dan daerah ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perpaduan tidak akan tercapai sekiranya masih ada sifat rasis dan kecenderungan mementingkan diri.

Beliau mengajak rakyat majmuk memastikan ikatan persaudaraan terus berkekalan dan tidak menjadikan perbezaan sebagai penghalang sebaliknya sebagai kekayaan tradisi yang unik.

Musbah seterusnya menggalakkan pengamal pemakaian baju tradisional dan kebudayaan masing-masing dalam kalangan masyarkat di daerah ini sebagai satu produk perlancongan.

"Produk kepelbagaian pakaian tradisi dapat mempromosikan kepelbagaian budaya etnik selain membuka sumber pendapatan dan peluang pekerjaan kepada golongan anak muda," katanya.

Beliau yang juga presiden kehormat Pertubuhan Peladang (PPK) Kawasan Kota Belud menyifatkan kehadiran semua warga peladang pada Pesta Kaamatan Peladang tahun ini sebagai bukti semangat kesepaduan dalam kalangan masyarakat petani di daerah ini.

Menurutnya kehadiran itu membuktikan rasa kebersamaan sebagai masyarakat sedaerah yang sudah mengatasi segala perbezaan dan fahaman politik.

Perayaan itu diserikan dengan warna-warni tradisi berbilang etnik di sini yang melibatkan masyarakat Dusun Tindal, Bajau Sama dan Iranun.

Penganjuran perayaan itu dipengerusikan oleh Justin Kolimot.

  • oleh
  • Advertisement