Anda di sini

Escom tahan lelaki, rampas 46,040 rokok, 486 botol minuman keras

Advertisement
ROKOK yang berjaya dirampas dalam rumah tersebut.
ROKOK yang berjaya dirampas dalam rumah tersebut.

SANDAKAN: Seorang lelaki berbangsa Cina ditahan bersama 46,040 kotak rokok dan 486 botol minuman keras yang disyaki tidak dibayar cukai kastam, di sini, petang Jumaat.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), DCP Dato' Hazani Ghazali berkata,  dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, suspek warga tempatan berusia 53 tahun diberkas oleh sepasukan anggota ESSCOM yang sedang melakukan operasi khas di sebuah rumah kediaman di kawasan Taman Tinosan, Sandakan

Antara barangan seludup yang dirampas termasuk 2,900 kotak rokok tex hijau dan tex biru; 5,000 kotak Astro menthol; 1,900 kotak rokok astro black; 5,200 kotak astro merah; 8,000 kotak rokok A one; 3,270 kotak rokok che black; 4,950 kotak rokok tradition; 7,000 kotak rokok absolute; 4,700 kotak rokok extreme; 600 kotak rokok apache dan 600 kotak rokok gudang garam.

Manakala jenama minuman keras yang dirampas adalah jenis royal salute, black label dan chivas.

Beliau berkata, hasil maklumat orang awam, sepasukan tujuh anggota Esscom telah membuat pemeriksaan dan serbuan di kawasan tempat tinggal suspek sebelum menemui pelbagai jenis rokok dan minuman keras seludup yang disembunyikan di sebuah bilik rumah berkenaan.

“Saya percaya rokok-rokok ini cuba diseludup dari Indonesia untuk dipasarkan ke kawasan Pantai Timur Sabah khususnya di Sandakan berdasarkan kepada modus operandi dan pengakuan suspek,” katanya dalam satu kenyataan Sabtu.

Beliau berkata, turut dirampas sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu yang disyaki turut digunakan dalam aktiviti penyeludupan berkenaan yang diletakkan di ruang parkir rumah kediaman tersebut.

Hazani berkata, suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan lanjut serta kes akan disiasat mengikut sek.135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut, beliau berkata Esscom akan sentiasa memperketatkan kawalan terutama di kawasan yang disyaki menjadi laluan penjenayah dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PTI).

“Pihak Esscom akan mengadakan operasi khas secara berterusan dalam usaha untuk mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi serta aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement