Anda di sini

Juragan, suspek seludup tong LPG ditangkap

Advertisement
SUSPEK dan kesemua barang rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau.
SUSPEK dan kesemua barang rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau.

TAWAU: Seorang juragan ditangkap kerana disyaki cuba menyeludup tong gas petroleum cecair (LPG) ke negara jiran, hasil pemeriksaan di Sg Pukol, Pulau Sebatik di sini pada Jumaat.

Suspek disyaki dalam perjalanan membawa muatan tong LPG menerusi bot jongkong yang dijuraganinya ke kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di Sg Aji Kuning, Sebatik.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata penahanan suspek, 44, itu dilakukan pasukannya menerusi Operasi Gelora.

“Anggota botronda PGR 3 PPM Tawau bertindak menahan suspek yang menjuragani sebuah bot jongkong kayu kira-kira jam 9.30 pagi,” katanya, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Pajeri berkata hasil pemeriksaan di bot jongkong berkenaan, pasukannya menemui enam tong LPG yang disembunyikan oleh juragan terbabit.

Menurutnya, kesemua tong LPG itu ditahan termasuk bot jongkong, enjin sangkut 40 kuasa kuda dan satu jerikin yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM26, 250.

“Juragan juga gagal menunjukkan sebarang surat atau dokumen kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Beliau berkata, tindakan diambil oleh pasukannya mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Orang ramai turut diminta supaya sentiasa menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan kepada PPM Tawau untuk membolehkan tindakan undang-undang dapat disegerakan.

  • oleh
  • Advertisement