Anda di sini

Miliki tenggiling hidup: Lelaki tempatan didenda RM25,000

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan didenda sebanyak RM25,000 atau penjara tiga bulan kerana memiliki dua ekor tenggiling (Manis Javanica) hidup yang disenaraikan sebagai haiwan dilindungi.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Choo Yau Hock, 58, yang mana pada Rabu untuk jatuh hukum dan fakta kes.

Tertuduh mengaku salah memiliki dua haiwan terbabit seperti disenaraikan dalam Jadual 2, Bahagian 1, no.14, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, tanpa kebenaran pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Kesalahan didapati dilakukan pada 28 Februari 2017 jam 4.10 petang di sebuah rumah, Jalan Mawas, Taman Foh Sang, Luyang.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 40 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dihukum mengikut Seksyen 40 (3) enakmen sama.

Hukuman yang diperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, sepasukan penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Foh Sang, selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Kemudian dua ekor tenggiling hidup ditemukan dalam karung plastik hitam yang disembunyikan di dalam tangki air di belakang rumah.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh tidak mempunyai dokumen pemilikan sah, sementara dua tenggiling terbabit dirampas.

Semasa rayuan peguam Luke Ressa Balang meminta hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana seorang pesalah pertama dan sudah menyesal.

Menurutnya tertuduh menjadi sumber ekonomi keluarganya dan mempunyai dua anak masing-masing berusia 10 dan 14 tahun.

Beliau juga memohon mahkamah mempertimbangkan tertuduh memberikan kerjasama semasa siasatan dan tidak gagal hadir semasa prosiding.

Terdahulu mahkamah dimaklumkan bahawa pindaan pertuduhan alternatif dikenakan terhadap tertuduh selepas plea bargaining diutarakan pihak pembelaan kepada pihak pendakwaan.

Pegawai Pendakwa Abdul Karim Dakog dari Jabatan Hidupan Liar menerangkan pindaan berkenaan dibuat kerana kesalahan itu dilakukan (28 Februari 2017) sebelum haiwan terbabit disenaraikan dalam Jadual 1 sejak 28 September 2017.

Oleh itu pihak pendakwaan menawarkan denda sebanyak RM25,000 hasil persetujuan daripada plea bargaining.

  • oleh
  • Advertisement