Anda di sini

Penduduk rumah panjang digesa terus sehati dan tidak berpecah

Advertisement
 Lee menyampaikan sumbangan cek kepada Panting sambil disaksikan tetamu lain.
GUNA SEBAIKNYA: Lee menyampaikan sumbangan cek kepada Panting sambil disaksikan tetamu lain.

MIRI: Penduduk rumah panjang digesa terus sehati dan tidak berpecah belah dengan hanya mendengar hasutan pihak luar, jelas Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.

Katanya sebagai rakyat Sarawak, kita tidak seharusnya dipergunakan dan diracuni oleh kata-kata yang tidak membawa erti kepada rakyat.

“Jangan dengar mereka dari luar kerana kita mempunyai tuai rumah kita sendiri yang telah dilantik oleh kerajaan negeri.

“Mereka dilantik adalah pegawai kerajaan iaitu pegawai yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS). Oleh itu, kerjasama dan kata sepakat seharusnya dicapai melalui tuai rumah serta penduduknya agar kekukuhan pergaulan tersebut dapat dikekalkan,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata demikian pada Majlis Gawai Ngiling Bidai di Rumah Panting Dok, Sungai Teniku, Jalan Miri-Marudi kira-kira 40 minit dari bandar raya Miri, di sini semalam.

Jelas Lee, seperti kemeriahan sambutan Hari Gawai setiap tahun, penduduk rumah panjang seharusnya ‘segulai sejalai’ dalam bersama menjaga keamanan negeri sendiri.

“Ingat juga pesanan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) yang mahu kita menjaga sebaik-baiknya negeri kita demi masa depan anak cucu kita nanti.

“Tak ada orang yang faham keperluan kita kalau bukan daripada kita sendiri sebagai anak jati Sarawak di sini,” tegasnya.

Lee yang mengibaratkan pemimpin Sarawak sebagai ‘Apai Indai’ turut mengingatkan penduduk Rumah Panting agar tidak lupa terhadap jasa ‘Apai Indai’ yang telah menjaga kebajikan.

“Jangan kita seumpama anak kecil yang telah dijaga baik oleh Apai Indai dan apabila sudah besar lupa terhadap Apai Indai disebabkan orang luar yang datang ke rumah panjang dan kemudiannya berjanji manis serta memberi duit, lalu kita lupa terhadap Apai Indai sendiri,” tambahnya.

Sehubungan itu jelas Lee, beliau sentiasa menunaikan janji bagi membantu rakyat khususnya di Rumah Panting yang di bawah konstituensinya di Senadin.

Beliau turut bersetuju dengan saranan Tuai Rumah Panting agar menyimen kawasan rumah panjang tersebut.

Selain itu, Lee juga menyumbang RM5,000 bagi kegunaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panting Dok, RM3,000 untuk Biro Wanita Rumah Panting Dok dan sumbangan 100 kerusi plastik.

Turut hadir Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Timbalan Residen Miri Nyurak Keti, Pegawai Daerah Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Morshidi Frederick, Ketua Masyarakat Iban Bahagian Miri Pemanca Wilson Siang, Tuai Rumah Panting Dok serta tetamu kehormat lain.

Advertisement