Anda di sini

Mahkamah Bumiputera Sarawak akan dinaik taraf

Advertisement
 Abang Johari memukul gendang simbolik pelancaran Gawai Dayak 2019 sambil ditemani Uggah, Manyin, Juma’ani dan tetamu kehormat lain.
RASMI: Abang Johari memukul gendang simbolik pelancaran Gawai Dayak 2019 sambil ditemani Uggah, Manyin, Juma’ani dan tetamu kehormat lain.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menaik taraf Mahkamah Bumiputera Sarawak agar ia setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memberitahu, langkah tersebut penting bagi memperkasakan fungsi dan bidang kuasa Mahkamah Bumiputera Sarawak dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan adat dan tradisi rakyat berbilang kaum termasuk isu membabitkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.

Tambahnya, untuk tujuan itu, beliau meminta Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai dan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menaik taraf Mahkamah Bumiputera Sarawak agar setanding dengan Mahkamah Sivil dan Syariah.

“Terdapat keperluan untuk kita menaik taraf mahkamah Bumiputera kita kerana saya percaya ia akan membolehkan kita menyelesaikan masalah berkaitan adat dan tradisi termasuk tanah NCR menerusi undang-undang adat yang ada di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2019 bertemakan ‘Indi Awang Indi Asung’ di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Dalam pada itu, Abang Johari turut berharap agar jawatankuasa yang ditubuhkan kelak dapat membolehkan struktur Mahkamah Bumiputera Sarawak dapat diperkasakan mengikut adat dan tradisi yang ada di sini.

Selain itu, beliau turut menggesa masyarakat Dayak melibatkan diri dalam pertanian moden bagi meningkatkan pendapatan dan merangsangkan ekonomi penduduk luar bandar.

Tegasnya, Kerajaan Sarawak amat komited dalam membantu warga petani mengusahakan pertanian moden di negeri ini.

Dedah beliau lagi, Kerajaan Sarawak akan membuka pejabat perdagangan secara rasmi di Singapura pada minggu depan bagi memperluaskan lagi pasaran produk hasil tani tempatan ke negara tersebut.

“Malah, kita turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastuktur di kawasan luar bandar menerusi peruntukan yang besar diumumkan pada Belanjawan Negeri 2019 lalu.

“Inilah usaha kita dalam memastikan rakyat luar bandar di negeri ini menikmati pembangunan yang lebih baik,” ujarnya.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Uggah, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong dan tetamu kehormat lain.

Advertisement