Anda di sini

Inisiatif ekonomi digital bidang pendidikan selari

Advertisement
 Dr Abdul Rahman bersama tetamu lain pada majlis perasmian Program Myschool Myhome di SK Rambungan kelmarin.
RASMI: Dr Abdul Rahman bersama tetamu lain pada majlis perasmian Program Myschool Myhome di SK Rambungan kelmarin.

KUCHING: Kerancakan Kerajaan Sarawak melaksanakan inisiatif ekonomi digital tidak meminggirkan kualiti pendidikan di seluruh negeri.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini kerana inisiatif ekonomi digital turut mencakupi bidang pendidikan.

Buktinya kata beliau, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1 bilion untuk membaik pulih sekolah daif di negeri ini.

“Ketika ini masih banyak sekolah daif di Sarawak memerlukan perhatian segera.

“Maka itu, usaha yang dilakukan kerajaan ini penting bagi memastikan sekolah di Sarawak dapat memenuhi hasrat pendidikan kebangsaan terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri merasmikan Program Myschool Myhome di Sekolah Kebangsaan (SK) Rambungan dalam daerah Lundu di sini, kelmarin.

Menurut Dr Abdul Rahman, bidang pendidikan sekarang memerlukan perubahan dengan memberi perhatian terhadap pengajian dan pembelajaran secara digital.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu, pendidikan secara digital dapat merangsang minat pelajar meningkatkan prestasi pembelajaran mereka.

“Pada masa sama ia juga memberi kemudahan kepada guru yang mengajar dengan lebih efektif.

“Justeru, saya berharap sistem pembelajaran dengan penggunaan gajet komputer bagi setiap pelajar seperti tablet secara atas talian dapat dilaksanakan di semua sekolah di Sarawak termasuk kawasan luar bandar,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah ADUN Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu dan Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia Datuk Roh Jae Yeol.

Advertisement