Anda di sini

Agensi pembangunan baharu

Advertisement
 Abang Johari (tiga kanan) bersama Baru (dua kanan) yang turut sama mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2019 anjuran pemimpin-pemimpin Dayak dalam PBB. — Gambar Muhd Rais Sanusi
KETEPIKAN POLITIK: Abang Johari (tiga kanan) bersama Baru (dua kanan) yang turut sama mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2019 anjuran pemimpin-pemimpin Dayak dalam PBB. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang mewujudkan agensi pembangunan kawasan luar Kuching bagi merancakkan lagi pembangunan sosioekonomi di kawasan terbabit.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kawasan pembangunan itu terletak antara bahagian Serian dan Kuching.

“Sebutan yang betul ialah (agensi) pembangunan luar Kuching bukan ‘Southern Belt’. Ini kerana ia sebahagian daripada kawasan luar Kuching.

“Kawasan ini mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur, dengan itu pembangunan sektor pertanian di situ lebih mudah dan sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2019 anjuran pemimpin-pemimpin Dayak daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, semalam.

Antara pemimpin Dayak yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Ahli Parlimen Kapit yang juga Setiausaha Agung PBB Datuk Alexander Nanta Linggi.

Menteri Kerja Raya yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian antara tetamu yang mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak itu.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata agensi pembangunan kawasan luar Kuching itu berbeza dengan Agensi Pembangunan Wilayah Samarahan Bersepadu (IRSDA).

Ini kerana menurutnya, IRSDA melibatkan kawasan pembangunan sehingga Sebuyau manakala agensi pembanguan luar Kuching melibatkan kawasan di antara Serian dan Kuching sahaja.

“Ia hanya melibatkan kawasan di antara Serian dan Kuching, kerana Serian adalah bahagain yang sudah tentunya mempunyai pelan induk pembangunannya sendiri.

“Oleh itu sebab itu kita membina jalan raya yang menghubung luar Kuching atau jalan Samarahan sehingga Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan pergi ke Jalan Keliling Luar Kuching yang akan membuka kawasan ini kepada lebih banyak pembangunan,” jelasnya.

Sebelum ini Kerajaan Sarawak telah mewujudkan Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).

Bagi membangunkan infrastruktur di ketiga-tiga wilayah pembangunan itu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.5 bilion masing-masing dalam tempoh dua tahun.

Pada majlis itu Abang Johari bersama pemimpin-pemimpin Dayak daripada PBB serta tetamu kehormat lain memotong kek sempena Hari Bapa yang disambut semalam.

  • oleh
  • Advertisement