Anda di sini

ANGKASA, Koperasi Sumbesta meterai MoU berhubung hospital swasta di Kuching

Advertisement
 Abdul Fattah (tengah) menyaksikan Azmi (empat kanan) bertukar  dokumen MoU dengan Wong di Sibu, semalam.
TERMETERAI: Abdul Fattah (tengah) menyaksikan Azmi (empat kanan) bertukar dokumen MoU dengan Wong di Sibu, semalam.

SIBU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) semalam memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Koperasi Sumbesta Berhad berkenaan projek hospital swasta yang dicadangkan untuk dibangunkan di Jalan Song, Kuching.

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, antara tujuan projek dengan nilai pelaburan keseluruhan (GDC) RM200 juta itu adalah untuk menjayakan pelancongan kesihatan di negeri dan rantau ini.

“Malaysia merupakan salah satu negara yang menjadi pilihan untuk mendapatkan rawatan perubatan di rantau ini kerana fasiliti yang ada di negara kita antara yang terbaik, selain kos rawatan yang kompetitif.

“Sepanjang tahun  lalu, dicatatkan 32 juta pelancong mengunjungi negara ini dan daripadanya 1.1 juta adalah untuk tujuan perubatan.

“Dengan keanggotaan ANGKASA dalam Pertubuhan Koperasi Se-ASEAN (ACO) yang mempunyai kira-kira 64 juta anggota dari seluruh ASEAN, kita yakin akan dapat menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia untuk menjalani rawatan sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri ANGKASA Negeri Sarawak 2019 ‘Gawai Raya’ di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Pada majlis itu, Abdul Fattah menyaksikan pemeterian MoU antara ANGKASAyang diwakili Naib Presiden ANGKASA Mohamad Azmi Omaruddin dan Koperasi Sumbesta Berhad yang diwakili Pengerusinya Nicholas Wong.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Sarawak Wan Azizan Wan Zainal Abidin dan Timbalan Presiden ANGKASA Datuk Che Mohd Shukree Che Isa.

Menurut Abdul Fattah, projek yang akan dibangunkan di atas tanah seluas tiga ekar itu bakal menempatkan bangunan hospital dengan kapasiti 33 katil bersama 300 unit perkhidmatan pangsapuri, di mana setiap pangsapuri mempunyai dua bilik, menjadikan kesemua adalah 600 bilik.

Untuk itu katanya, unit pangsapuri akan dimiliki oleh koperasi, bermaksud koperasi akan membeli unit pangsapuri atau bilik untuk disewakan mengikut konsep Kondominium Hotel, kemudian koperasi boleh serahkan kepada koperasi-koperasi untuk diuruskan.

“ANGKASA terlibat dalam bidang ini kerana ingin menyediakan kemudahan kepada ahli-ahli termasuk menjaga kebajikan,” ujarnya.

Advertisement