Anda di sini

Ahmad Nazib tidak menjangka Haziq bersikap sedemikian rupa

Advertisement
 Hafsah (duduk, tengah) ditemani Nazib (duduk, dua kiri), Ali (kanan), Faizul (kiri) dan ahli PKR lain merakam kenangan bersama.
ALBUM RAYA: Hafsah (duduk, tengah) ditemani Nazib (duduk, dua kiri), Ali (kanan), Faizul (kiri) dan ahli PKR lain merakam kenangan bersama.

KUCHING: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Santubong Ahmad Nazib Johari tidak menjangka sikap Haziq Abdullah Abdul Aziz sedemikian rupa yang sudah dikenalinya sejak 10 tahun lalu.

Beliau mendedahkan, keperibadian Haziq yang dikenalinya itu merupakan seorang yang berdisiplin, rajin, taat agama, tetap dengan prinsip dan bijak.

“Saya mengenalinya sudah lama sejak beliau berusia 18 tahun ketika beliau masih bergelar pelajar universiti, beliau sudah mengikut saya berkempen pada pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum di Satok dan Petra Jaya.

“Keperibadian beliau yang saya kenali sejak dahulu beliau seorang yang berdisiplin, rajin, taat agama dan tetap dengan prinsipnya dan beliau seorang yang tahu apa yang beliau lakukan.

“Jadi, kita tidak menjangkakan beliau bersikap sedemikian berbanding dengan apa yang kita kenali sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada majlis Ramah-Tamah Aidilfitri PKR Cabang Santubong di Samariang Aman 2, Jalan Sultan Tengah di sini semalam.

Malah, Ahmad Nazib memberitahu, Haziq ketika ini seolah-olah hilang hala tuju dan dalam keadaan tertekan.

“Kita kasihan melihat beliau yang tidak tahu hala tuju, saya sekali sahaja berjaya menghubungi beliau dan mengatakan beliau dalam keadaan tertekan, itu sahaja,” tambahnya.

Tegasnya lagi, Haziq sememangnya amat dikenali dengan sahsiah diri yang baik dan jika diikut dari segi kenyataan yang dikeluarkan dalam laman sosial Facebook (FB), tidak sama seperti yang diketahuinya.

“Apa yang saya tahu cara beliau berfikir dan cara beliau memberi kenyataan, tidak sama kerana sebelum ini beliau menyediakan kenyataan media untuk saya dan saya tengok kenyataan yang dimuat naik dalam FB tidak bersambung, seolah-olah bukan beliau yang buat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berhasrat mahu berjumpa dengan Haziq dalam masa terdekat bagi mengetahui sendiri perkembangan dan keadaan sebenar.

“Tidak tahu lagi, saya cuba kerana saya mahu tahu kedudukan beliau, cuba cari jalan untuk berjumpa sebagai rakan.

“Beliau juga ada peguam dan kemungkinan saya akan cuba menasihati beliau dari sudut perundangan syariah sebab saya lihat laporan polis ada melibatkan kesalahan qazaf,” katanya.

Selain itu, beliau menyifatkan isu tersebut merupakan isu peribadi dan selaku Ketua Cabang PKR Santubong, pihaknya mengambil untuk berdiam diri supaya tidak mengganggu siasatan polis.

“Kita serah kepada polis untuk melakukan siasatan selanjutnya kerana sudah ada pengakuan dan laporan polis dibuat jadi saya fikir lebih baik kita berdiam diri dan biarkan polis jalankan siasatan kerana dibimbangi mengganggu siasatan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga telah mengadakan pertemuan bersama ahli keluarga Haziq di Kuching bagi mengetahui perkembangan emosi keluarga yang mana beliau juga dimaklumkan sehingga kini ahli keluarga masih gagal menghubungi Haziq.

Mengulas tentang jawatan Haziq sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Ahmad Nazib memberitahu Haziq masih memegang jawatan tersebut dan menyerahkan perkara tersebut kepada PKR Pusat.

Pada majlis itu, Ahmad Nazib menerima kunjungan daripada Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) Pejabat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Hafsah Harun dan turut dihadiri Naib Ketua PKR Santubong Ali Hossen, Bendahari PKR Santubong Faizul Ahmat dan barisan PKR lain.

  • oleh
  • Advertisement