Anda di sini

Lampard berkemungkinan kembali ke Chelsea sebagai pengurus kelab

Advertisement
LAMPARD
LAMPARD

LONDON, England: Frank Lampard mengadakan rundingan dengan Chelsea untuk kemungkinan kembali sebagai pengurus kelab, menurut laporan akhbar Daily Mirror Rabu lepas.

Lampard – penjaring gol terbanyak Chelsea – menyerlah pada musim pertama beliau sebagai pengurus apabila membimbing kelab Liga Kejuaraan, Derby County ke final playoff kelayakan Liga Perdana Inggeris di mana mereka tewas 1-2 kepada Aston Villa.

Bekas pemain tengah antarabangsa England itu dilihat berada di London bersama bekas rakan sepasukan, Didier Drogba, yang merupakan salah seorang duta kelab.

Pengurus semasa Chelsea, Maurizio Sarri, dijangka akan meninggalkan Chelsea pada musim panas ini walaupun membimbing kelab ke tangga ketiga liga dan memenangi trofi Liga Europa pada musim pertamanya di England.

Sarri dijangka akan menggantikan Massimiliano Allegri – yang juga dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea -  di Juventus.

Kejayaan Lampard di Derby juga dicapai dengan pasukan muda yang dipinjam dari beberapa kelab Liga Perdana.

Dua pemain paling menyerlah Derby, Mason Mount dan Fikayo Tomuri, adalah milik kelab Chelsea.

Dan kejayaan Lampard bersama pemain muda difahamkan antara tarikan Chelsea, yang ketika ini bakal mengharungi penggantungan dua tempoh pembelian pemain.

Ia bermakna ada peluang dalam kesebelasan utama untuk pemain seperti Mount dan Tomuri dan juga pemain muda lain seperti Tammy Abraham – yang menjaringkan 26 gol ketika dipinjamkan ke Villa musim ini. — Reuters

Advertisement