Anda di sini

Seorang lagi disyaki dijangkiti rabies sedang mendapatkan rawatan di HUS

Advertisement
Uggah (tengah) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai rabies semalam. Turut kelihatan Ik Pahon (kiri).
KEMAS KINI:Uggah (tengah) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai rabies semalam. Turut kelihatan Ik Pahon (kiri).

KUCHING: Seorang lagi individu disyaki dijangkiti rabies sedang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ia merupakan kes positif manusia yang ke-19 sekiranya ujian didapati positif.

Rabies di Sarawak telah diisytiharkan sebagai Bencana Tahap II dan meragut nyawa mangsa ke-17 iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun dari Batu Kawa yang meninggal dunia di HUS pada 31 Mei lepas.

Manakala, seorang lagi mangsa yang dijangkiti rabies pada Ogos 2017 masih koma dan dirawat di rumah.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, beliau amat sedih kerana kes positif rabies terhadap manusia masih berlaku.

“Seorang mangsa yang disyaki dijangkiti rabies kini masih menjalani rawatan di HUS dan ia sesuatu yang menyedihkan apabila kes positif manusia masih lagi berlaku.

“Kita mesti dan akan mengambil perkara ini dengan serius terutama berkaitan operasi antirabies yang sedang dijalankan atau pada masa akan datang,” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN di sini, semalam.

Uggah berkata, lebih menyedihkan ialah walaupun kerap memberi nasihat agar mendapatkan rawatan diri selepas digigit menerusi akhbar, media sosial, risalah dan poster, masih ada individu yang tidak mempedulikan rawatan sedemikian.

“Rawatan ini sangat mudah. Pertama cuci kesan gigitan atau cakaran dengan sabun dan biarkan air mengalir selama 10 hingga 15 minit.

“Kemudian pergi ke hospital atau klinik terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut,” tegasnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan terkini Operasi Antirabies katanya, fasa keempat operasi akan dilancarkan dari 20 hingga 25 Jun ini merangkumi Daerah Serian dan Simunjan.

Uggah berkata, jawatankuasa itu telah menjalankan tiga fasa operasi setakat ini meliputi Daerah Lundu, Bau, Padawan, Samarahan dan Kuching.

“Kita berjaya membasmi 5,867 anjing dan 38 kucing liar. Secara umumnya, saya percaya kami berjaya mencapai objektif walaupun kami menghadapi beberapa kelemahan, cabaran dan bantahan.

“Saya berharap operasi yang akan datang akan dilakukan dengan lebih mantap dan berkesan,” katanya.

Manakala, bagi operasi akan datang di Serian dijangka meliputi 257 kampung dengan 18,837 isi rumah.

Dianggarkan 7,817 anjing milik 3,900 pemilik dan 552 anjing liar disasarkan dalam operasi tersebut.

Setakat tahun ini, 25 anjing telah diberi suntikan vaksin, manakala tahun lepas secara keseluruhan 9,457 anjing telah divaksin termasuk di Daerah Tebedu.

Bagi Daerah Simunjan pula, operasi akan meliputi 144 kampung dan 12 ladang kelapa sawit.

Daerah berkenaan dikatakan mempunyai kira-kira 104 anjing liar, manakala 257 anjing lain belum divaksin.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Datuk Dr Chai Khin Chung, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Dr Adrian Susin Ambud dan Superintenden Ang Siaw Aun yang mewakili Pesuruhjaya Polis Negeri.

Advertisement