Anda di sini

NSCMH ambil alih operasi 11 cawangan PHM

 Hon (dua, kanan) bergambar  bersama Pengerusi Pusat Hemodialisis Mawar, Datin Chua Lay Peng (kanan) selepas sidang media mengenai NSCMH mengambil alih operasi 11 cawangan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) berkuatkuasa semalam. — Gambar Bernama
UNTUK KENANGAN: Hon (dua, kanan) bergambar bersama Pengerusi Pusat Hemodialisis Mawar, Datin Chua Lay Peng (kanan) selepas sidang media mengenai NSCMH mengambil alih operasi 11 cawangan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) berkuatkuasa semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Pusat Perubatan NSCMH mengambil alih operasi 11 cawangan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) berkuat kuasa semalam, demikian umum Naib Presiden NSCMH Datuk Hon Choon Kim.

Beliau berkata keputusan berkenaan diambil NSCMH setelah berbincang dengan Pusat Perubatan Mawar (MMC) bagi memastikan kesemua pusat berkenaan dapat beroperasi dengan baik demi kesejahteraan pesakit.

“NSCMH mengambil alih (PHM) ini sebagai tanggungjawab sosial memandangkan kami telah mempunyai satu pusat dialisis di sini dan mereka mempunyai masalah dalaman, jadi kami ambil alih untuk membantu mereka terus beroperasi dan pesakit boleh terus menerima rawatan dialisis dari pusat ini. Sebenarnya alasan utama adalah untuk membantu pesakit.

“Pekerja di PHM juga masih bekerja di semua cawangan, cuma kami mengambil alih segala tanggungjawab dari segi pembayaran gaji, membayar bekalan ubatan dan sebagainya di semua pusat dialisis ini. Kami membuat komitmen untuk memastikan pusat dialisis ini berjalan dengan baik tanpa sebarang penangguhan dan tidak memberi sebarang masalah kepada pesakit ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, semalam.

Antara cawangan PHM yang terlibat ialah Lukut, Bahau, Rantau, Kuala Pilah, Mantin dan Gemas di Negeri Sembilan; Sepang dan Seri Kembangan di Selangor, Yong Peng, Johor; Seputeh, Kuala Lumpur dan Tawau, Sabah.

PHM yang dimiliki MMC ditubuhkan pada 1997 dan mempunyai 13 cawangan di seluruh negara.

Hon berkata setakat ini seramai kira-kira 400 pesakit mendapat rawatan dialisis di 11 pusat hemodialisis  tersebut.

Beliau berkata baki dua lagi pusat dialisis PHM di Sarawak difahamkan akan diambil alih operasinya oleh badan bukan kerajaan (NGO) di negeri berkenaan.

“Saya gembira akhirnya, kami dapat penyelesaian ini dan Pengerusi kami (Datuk Lee Tian Hock) sendiri terlibat dalam perbincangan sebelum ini bagaimanapun hari ini beliau tidak dapat hadir ke sidang media ini dan saya mewakili NSCMH untuk membuat pengumuman.

Pada 15 Januari lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan lesen MMC selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Pusat perubatan itu kemudian diarahkan menutup pengoperasiannya oleh KKM pada 14 Februari lalu selepas mendapati ia gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premis tersebut mempunyai lesen untuk beroperasi.

Isu pelesenan yang dihadapi MMC adalah berikutan peletakan jawatan semua pengamal perubatan pakar kecuali seorang pakar nefrologi yang berkhidmat di premis tersebut pada 5 November tahun lepas.

Pada 20 Mac, MMC didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengendalikan sebuah hospital swasta tanpa lesen. — Bernama