Anda di sini

Lebih banyak pembangunan untuk kawasan pinggir bandar, kata Rosey

Advertisement
 Rosey (duduk, empat kanan) melayan tetamunya untuk bergambar bersama semasa rumah terbuka Hari Raya di kediaman keluarganya di Kampung Kelulit, Bekenu.
MESRA: Rosey (duduk, empat kanan) melayan tetamunya untuk bergambar bersama semasa rumah terbuka Hari Raya di kediaman keluarganya di Kampung Kelulit, Bekenu.

MIRI: Usaha membawa masuk lebih banyak pembangunan termasuk kemudahan asas bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat di kawasan pinggir bandar seperti konstituensi Bekenu, sentiasa menjadi keutamaan wakil rakyatnya.

Menteri Muda Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus, berkata beliau akan terus melakukan yang terbaik untuk memberikan berkhidmat kepada rakyat di kawasannya, termasuk menyediakan kemudahan infrastuktur asas seperti bekalan air bersih dan elektrik.

“Tidak dilupakan juga kemudahan jalan raya ke kampung-kampung dan rumah-rumah panjang di kawasan Bekenu, yang merupakan pemangkin utama ke arah usaha meningkatkan serta merancakkan ekonomi masyarakat di sini,” katanya.

Rosey memberitahu demikian kepada Utusan Borneo di sini, selepas menerima kunjungan tetamu ke rumah terbuka beliau sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di kampung halamannya di Kampung Kelulit, Bekenu dekat sini, kelmarin.

“Lebih banyak pembangunan akan dilakukan oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini termasuk di Bekenu terutama di kawasan luar bandar dan di kampung halaman dan rumah panjang,” tambah beliau lagi.

Rosey berkata, tumpuannya adalah untuk terus membawa pembangunan bagi penduduk luar bandar termasuk membangun dan merancakkan industri pertanian dan perikanan selain menyediakan kemudahan asas yang amat diperlukan untuk mengubah kawasan pilihan raya tersebut.

Sehubungan itu juga, beliau menggesa rakyat khususnya penduduk di kawasannya supaya ambil tahu dan memberi perhatian terhadap usaha dan  kredibiliti Kerajaan Negeri yang diterajui oleh GPS, yang telah membawa banyak pembangunan dan kemajuan pesat untuk rakyat di negeri ini, masa ada di bandar mahupun luar bandar, selama ia memerintah Sarawak.  

Rosey juga mengingatkan penduduk supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen yang dibangkitkan pihak pembangkang, yang hanya tahu bagaimana mengkritik dan memberi komen tetapi tiada tindakan.

Sementara itu, beratus-ratus orang pengundi, penduduk kampung, sanak-saudara, rakan-rakan dan ahli-ahli keluarga, berkunjung ke rumah terbuka beliau.

“Setiap kali musim perayaan, saya dan suami akan meluangkan masa beberapa hari di kampung kami untuk berjumpa dengan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan yang berkunjung ke sini (Kampung Kelulit, Bekenu),” ujar beliau.

Menurut Rosey, musim perayaan seperti sambutan Hari Raya, adalah masa terbaik untuk memupuk ikatan kekeluargaan, meningkatkan hubungan silatulrahim dengan saudara-mara dan rakan-rakan yang, jarang ditemui sepanjang tahun, kerana kekangan tugas.

Pada masa yang sama, rumah terbuka itu juga turut menjadi platform bagi penduduk kampung berdekatan, datang melawat sambil menyuarakan masalah, cadangan, pandangan serta pelbagai isu berkaitan kampung atau rumah panjang masing-masing.

Advertisement