Anda di sini

Amrullah presiden MPT baharu

Advertisement
JAUJAN (tengah) dan Amrullah (empat kiri) merakamkan gambar kenangan selepas sidang media itu.
JAUJAN (tengah) dan Amrullah (empat kiri) merakamkan gambar kenangan selepas sidang media itu.

KOTA KINABALU: Datuk Ir Hj Amrullah @Ambrullah Kamal dilantik sebagai presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) baharu berkuatkuasa serta-merta bagi menggantikan mantan presiden MPT Alijus Sipil yang sudah bersara.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, pemilihan Amrullah telah dipersetujui Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi mengisi kekosongan jawatan presiden MPT.

"Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau seorang pegawai perkhidmatan awam negeri yang cukup berpengalaman kerana sebelum ini beliau pernah berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau, sebelum dipindahkan ke JKR Sabah selaku pengarah... dan sebelum ini beliau adalah ketua pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

"Saya yakin di bawah pimpinan pentadbiran beliau di MPT sebagaimana dihasratkan kerajaan baharu ini, Tawau akan maju ke hadapan berdasarkan pengalaman beliau, terutama sekali berkaitan menangani isu-isu seperti bekalan air, soal berlaku banjir, Sungai Tawau perlu dibersihkan dengan baik serta berkaitan usaha menaik taraf rangkaian jalan raya di bandar berkenaan," katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, pembangunan Tawau kini semakin pesat dengan kehadiran ramai pelancong di lapangan terbang bandar berkenaan. Selain itu daerah sekitar seperti Semporna dan Lahad Datu turut membangun.

Katanya, selaku presiden MPT Amrullah mempunyai tanggungjawab besar bagi memikul tugasan berkenaan.

Sementara itu, Amrullah, 58, berterima kasih kepada pimpinan Sabah yang memberikan peluang memegang jawatan sebagai presiden MPT.

Beliau yang sudah 34 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam menjelaskan sudah tiba masanya Tawau menerima pembangunan yang pesat walaupun berhadapan pelbagai kekangan dari segi infrastruktur, pembekalan air dan tenaga.

"Isu-isu banjir, masalah sistem pembentungan, semua ini perlu diatasi sebelum kita bersedia menerima apa-apa pembangunan yang akan datang di sini, khususnya dalam sektor pelancongan," katanya.

Dalam sidang media itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut mengingatkan pengguna media sosial agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan laporan berita palsu sehinggakan memudaratkan suasana dalam masyarakat yang majmuk.

Katanya, setiap orang terutamanya yang berpendidikan tinggi harus mempunyai dan tahu tanggungjawab masing-masing terhadap kesan daripada tindakan yang tidak baik itu.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masnah Matsalleh.

  • oleh
  • Advertisement