Anda di sini

Polis syak mayat ditemukan kes mati dibunuh

Advertisement

TAWAU: Polis sudah mengenal pasti identiti mayat yang disyaki mati dibunuh dan ditemukan tertiarap di belakang sebuah premis perkakasan di Jalan Bantu, Fajar, di sini pada petang Isnin.

Identiti si mati dipercayai adalah Jaafar Jalma, 49, seorang peniaga warung makan dari Kg Titingan Tawau serta mempunyai kesan luka tikaman di dada dan tengkuknya.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata, polis turut menemukan sebatang pemutar skru dan sebilah pisau pemotong sayur berukuran lapan inci di lokasi kejadian.

“Kita menerima aduan panggilan awam pada jam 5.56 petang yang memaklumkan satu mayat lelaki ditemukan dalam keadaan terbaring di longkang,” katanya di sini.

Beliau berkata polis tidak menemukan sebarang pengenalan diri pada mayat si mati, namun seorang wanita, 39, mengecam lelaki itu sebagai suaminya ketika di lokasi kejadian.

Menurutnya, polis mengesyaki kejadian itu berlaku antara jam 12.30 malam Ahad hingga jam 5 petang Isnin mengikut keterangan yang diambil daripada isteri si mati.

“Berdasarkan keterangan isterinya, selepas menutup warung makanan mereka pada Ahad kira-kira jam 12.45 tengah malam, si mati keluar rumah seorang diri untuk bersiar-siar.

“Si mati turut memandu kenderaan jenis Proton Wira berwarna merah gelap dengan nombor pendaftaran SB871, namun tidak pernah pulang semula ke rumah,” katanya.

Peter berkata si mati juga dikatakan tidak mempunyai telefon bimbit dan setakat ini polis masih menggerakkan usaha menjejak keberadaan kenderaan yang dipandunya.

Katanya, motif kejadian belum diketahui namun polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh.

  • oleh
  • Advertisement