Anda di sini

FAS masih tunggu kelulusan daripada MFL

Advertisement
 Penyerang baharu Sarawak Rodrigo Amorim Oliveira (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan menentang UKM FC pada Rabu depan. Gambar sisipan Jeffery.
GIGIH BERLATIH: Penyerang baharu Sarawak Rodrigo Amorim Oliveira (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan menentang UKM FC pada Rabu depan. Gambar sisipan Jeffery.

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berharap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertimbangkan permohonan mereka untuk menggunakan Stadium Sarawak, Petra Jaya bagi melangsungkan baki empat perlawanan Liga Premier di sini.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Jeffery Lana pihaknya masih menunggu kelulusan daripada MFL untuk membolehkan semua perlawanan di sini dipindahkan ke Stadium Sarawak.

Jelas Jeffery, pihaknya telah memohon daripada MFL selepas perlawanan menentang JDT II pada 25 Mei lepas berhubung perkara itu, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Kita berharap pihak MFL dapat mempertimbangkan permohonan kita untuk melangsungkan empat perlawanan di sini di Stadium Sarawak, Petra Jaya.

“Ini bagi membolehkan penyokong datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan memandangkan perlawanan akan berlangsung pada sebelah malam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, Jeffery berharap MFL dapat memberi kelulusan dalam masa terdekat bagi membolehkan perlawanan menentang UKM FC pada 19 Jun ini menggunakan Stadium Sarawak.

Sarawak masih mempunyai enam baki perlawanan liga dengan empat aksi di tempat sendiri membabitkan pertembungan menentang UKM FC, Negeri Sembilan, Terengganu FC II dan Selangor United.

Manakala dua perlawanan di laman lawan menentang Sabah dan Pulau Pinang.

Sementara itu, skuad Sarawak kembali menjalani latihan selepas cuti sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri sebagai persiapan menentang UKM FC pada Rabu depan.

Sarawak masih menduduki tangga ke-10 Liga Premier dengan mengumpul 10 mata selepas mengharungi 14 perlawanan setakat ini.

  • oleh
  • Advertisement