Anda di sini

Banjir: Segera bantu SK Long Busan yang terjejas teruk

Advertisement
 Ahmad (duduk, empat kanan) bersama isteri Fatimah Lee (kanan beliau) ketika merakamkan kenangan bersama ahli keluarga dan sahabat handai yang datang bertandang semalam.
UNTUK ALBUM: Ahmad (duduk, empat kanan) bersama isteri Fatimah Lee (kanan beliau) ketika merakamkan kenangan bersama ahli keluarga dan sahabat handai yang datang bertandang semalam.

KUCHING: Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie semalam menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk membantu Sekolah Kebangsaan (SK) Long Busan di Belaga dengan segera.

Beliau memberitahu, sekolah terbabit terjejas teruk akibat banjir sejak beberapa hari lalu dan amat memerlukkan bantuan.

“Mewakili KGBS dan warga pendidik, adalah menjadi harapan sekiranya pihak KPM dan JPNS berupaya membantu mereka dengan segera kerana saya percaya sekolah, guru dan para pelajar amat memerlukannya.

“Adalah juga penting KPM dan JPNS mempercepatkan kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang telah rosak ekoran banjir baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Jalan Burung Lilin di sini, semalam.

Ahmad juga menggesa guru dan pelajar sekolah agar bersabar sementara bantuan disampaikan kepada mereka oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Beliau juga berharap bantuan diberikan bukan sahaja kepada sekolah terbabit yang sedang menghadapi masalah, tetapi juga sekolah-sekolah lain yang mengalami keadaan serupa di seluruh negeri.

Sejurus selepas berita sekolah tersebut terjejas akibat banjir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak menyampaikan sumbangan bersama sekitar RM50,000.

Ahmad mengucapkan penghargaan kepada kedua-dua wakil rakyat negeri yang membantu meringankan beban pihak sekolah.

Advertisement