Anda di sini

Ewon cadang tubuh persatuan Unduk Ngadau, platform bantu komuniti

Advertisement
EWON (tengah) merakam gambar kenangan bersama Francisca (kanan) dan Unduk Ngadau 2018 Hosiani James Jaimis (kiri).
EWON (tengah) merakam gambar kenangan bersama Francisca (kanan) dan Unduk Ngadau 2018 Hosiani James Jaimis (kiri).

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar sebuah persatuan ditubuhkan sebagai platform rasmi dan kekal kepada bekas Unduk-Unduk Ngadau bagi membantu komuniti di negeri ini.

Katanya, platform itu seterusnya membuka ruang untuk Unduk Ngadau ini bekerjasama dengan kerajaan, sektor korporat dan pelbagai rakan strategik lain untuk melaksanakan program kemasyarakatan seperti kebajikan, kesihatan, pendidikan, ekonomi, keluarga dan pembangunan infra di kampung-kampung khususnya di luar bandar.

"Saya maklum, selalunya Unduk Ngadau sama ada di peringkat negeri atau daerah akan diberi peranan dalam tempoh satu tahun selepas menang.

“Bagaimanapun, saya fikir peranan ini boleh diteruskan sekiranya ada platform rasmi bagi mereka menyalurkan segala pemikiran dan tenaga bakti untuk manfaat komuniti dalam banyak perkara yang seharusnya menjadi keprihatinan bersama kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2019 di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian itu berkata, kepimpinan dan kewibawaan Unduk Ngadau tidak seharusnya dilihat melalui aspek kecantikan semata-mata, tetapi perlu ada semangat Huminodun melalui penerapan dari kegiatan khidmat masyarakat yang benar-benar membawa impak kepada komuniti.

Misalnya, membantu mengadakan khidmat komuniti atau program tanggungjawab sosial di kampung-kampung yang tidak mempunyai akses pendidikan, tidak mempunyai sumber ekonomi yang konsisten, isu kebajikan dan kesihatan, dan sebagainya.

Selain itu, Ewon turut mengalu-alukan kesediaan Jawatankuasa Pelaksana Unduk Ngadau bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah bagi program-program pembangunan komuniti luar bandar melalui Program Kampung Sejahtera.

"Dalam pertemuan saya dengan jawatankuasa Unduk Ngadau, saya telah menyatakan pandangan saya termasuk syor kerjasama bagi memperkasakan Program Kampung Sejahtera KPLB Sabah di mana kita mempunyai 55 kampung terpencil di seluruh Sabah di bawah program ini yang berhadapan dengan cabaran kemudahan asas, ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

“Sebab itu saya menjemput para Unduk Ngadau untuk turut sama berfikir bagaimana kita boleh membantu komuniti kita di kampung-kampung ini. Saya gembira kerana jawatankuasa menerima syor kerjasama ini sebagai satu pengisian utama bagi Unduk Ngadau bermula tahun ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement