Anda di sini

Jonathan lulus RM80,000 untuk Kg Penulangon

Advertisement
 JONATHAN (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian penduduk dan pasukan bermotosikal di Kg Penulangon.
JONATHAN (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian penduduk dan pasukan bermotosikal di Kg Penulangon.

RANAU: Peruntukan sejumlah RM80,000 untuk akses jalan raya yang diluluskan oleh Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yassin bakal dinikmati dan menceriakan para penduduk Kampung Penulangon yang terletak di kawasan terpencil, di sini.

Jonathan yang juga pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) mengumumkan kelulusan peruntukan itu semasa perayaan Festival Kaamatan St Joseph Chapel Penulangon di kampung itu.

Berucap pada majlis itu, beliau berkata cadangan kepada pihak berkuasa berkaitan masalah jalan raya di kawasan itu telah dilakukan dan berharap para penduduk terbabit dapat bersabar untuk pembangunan masa depan.

“Memang, jalan ke kampung ini merupakan masalah utama penduduk di sini. Selain itu, jambatan yang rosak dan masih diperbaiki sehingga sekarang amat mengganggu.

“Kami sangat prihatin terhadap kesusahan penduduk di sini apabila mengetahui bahawa sebahagian daripada mereka perlu membawa (memikul) keranda kira-kira 7 kilometer dari jalan yang kurang selesa,” katanya.

Menurutnya, jalan raya sudah ada dalam perancangan untuk dibaiki tetapi ada banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum pembinaan bermula dan salah satunya ialah ia memerlukan izin daripada pihak FMU kerana ada kawasan yang terlibat berada dalam kawasan badan itu.

Berhubung isu pembinaan jambatan, Jonathan berkata anggaran untuk pembinaan jambatan dan pembaikan jalan raya terbabit kini dalam tindakan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan berharap ia akan ada keputusan awal yang positif.

“Sementara itu, kami juga telah memperuntukkan RM50,000 untuk membina jalan motosikal, RM20,000 untuk penunggang motosikal di sini bagi membantu mereka dalam mana-mana usaha persatuan mereka.

“Kami memahami bahawa sejak kereta tidak dapat diakses di sini, motosikal memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian para penduduk di sini,” ujarnya.

Di samping itu, satu lagi peruntukan RM10,000 diluluskan untuk Persatuan Wanita Gereja Katolik di kawasan berkenaan, manakala untuk bajet solar atau hidro mini untuk menjana elektrik, kos yang diperlukan untuk pelaksanaannya kini dalam pertimbangan.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan kepada 15 warga emas termasuk ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan.

Sebelum ini, Jonathan pernah menyatakan kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) akan memberi perhatian kepada peningkatan semua keperluan asas rakyat di sini yang terabai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

“Ini termasuk jalan kampung dan satu jalan khusus ialah jalan menuju ke Kg Penulangon. Ini sudah lama dibangkitkan pada masa-masa yang yang lalu, tetapi pihak kerajaan yang lama gagal memberi perhatian.

“Kami menerima maklumat bahawa projek jambatan yang sepatutnya dibina untuk kemudahan penduduk di Kg Penulangon telah dipindahkan ke tempat lain pada masa lalu. Ini tidak baik untuk rakyat,” katanya.

Jonathan menegaskan, di bawah Kerajaan PH, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan bahawa ia akan diambil perhatian dan tindakan serius dibuat supaya jambatan dan jalan ke kawasan itu dapat dibina.

Advertisement